SHAH ALAM - Sudah tiba masanya kerajaan menasihati Bank Negara Malaysia (BNM) agar campur tangan bagi membenarkan institusi perbankan memberikan moratorium wajib selama tiga hingga enam bulan tanpa faedah.
Presiden Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM), Datuk Muzamir Mustafa berkata, hampir 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan industri kecil dan sederhana (IKS) menunggu masa untuk gulung tikar memandangkan industri tersebut terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, jika moratorium gagal diberi kepada peminjam, dikhuatiri jumlah pinjaman tidak berbayar akan meningkat dan jumlah individu yang diisytihar bankrap juga akan bertambah.
"Jika kita lihat pada suku pertama tahun 2021 hampir semua bank di Malaysia mencatatkan keuntungan.
"Malah pada sekitar tahun 1985 sehingga 1988 dan 1997 krisis kewangan melanda dunia dan telah menyebabkan institusi kewangan Malaysia terjejas teruk, kerajaan telah menubuhkan dana harta dan dana modal bagi membantu institusi kewangan atau 'bail out' dengan menggunakan duit pembayar cukai.
"Jadi inilah masanya pihak bank membalas jasa pembayar cukai,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambah beliau, masalah lain seperti masalah sosial juga berkemungkinan berlaku sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan.
"Kerajaan harus sedar ketika ini terdapat golongan T20 telah turun ke M40 dan M40 ke B40 dan B40 terus tertekan.
"Ini juga masanya untuk kerajaan membantu rakyat yang sentiasa menyokong kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.