Kes sebar berita palsu turun berbanding PKP 1.0

Iklan
Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR - Kes penyebaran berita palsu turun sebanyak 83 peratus ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berlangsung berbanding ketika PKP 1.0 pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penurunan itu bermakna kerajaan berjaya mengekang pihak yang gemar membuat berita palsu serta fitnah dan membanteras berita seumpamanya dengan bantuan media.

Iklan
Iklan

"Kertas siasatan pada PKP 3.0 ini dibuka di bawah Ordinan Darurat yang mana sebanyak 26 kertas siasatan dibuka oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia). Pada PKP 1.0 terdapat 169 kes yang dilaporkan kepada PDRM berbanding hanya 28 kes pada PKP 3.0,” katanya dalam rancangan Malaysia Hari Ini dengan topik 'Tidak Pasti, Jangan Kongsi' pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, usaha mengekang berita palsu amat penting kerana ia mampu menyebabkan keresahan dan ketegangan masyarakat.

Iklan

Katanya, terdapat laporan ada individu yang tidak hadir pada janji temu vaksin kerana ditakut-takutkan oleh golongan antivaksin yang melemparkan pelbagai dakwaan negatif terhadap vaksin yang sekiranya ini tidak dikekang, kerajaan tidak dapat mengatasi masalah mendatang.

"Kita hanya mahu kekang berita palsu, bukannya hendak aniaya rakyat... ada yang seronok sebarkan berita palsu tanpa memikirkan kesannya dan sebab itu perlunya kita ambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Iklan

Sementara itu, Zahidi di laman Facebooknya berkata, beberapa tangkapan telah dibuat ke atas individu atau pihak yang didapati memuat naik atau menyebar berita tidak benar mengenai Covid-19 serta Proklamasi Darurat.

Beliau berkata, sejak Januari 2020 sehingga 13 Jun lalu sebanyak 296 kes turut disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sehubungan dengan itu, saya ingin meminta kepada semua agar menjadi pengguna media sosial yang lebih bijak... percayalah bahawa bukan semua berita di internet itu adalah benar... pastikan anda sentiasa periksa dahulu kesahihan sumber," katanya.

Beliau juga turut meminta masyarakat agar memanfaatkan juga portal sebenarnya.my dan Perkongsian Pasukan Respons Pantas KKMM bagi menyemak kesahihan sesuatu berita, sekiranya mempunyai maklumat mengenai berita tidak sahih yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara, salurkan maklumat tersebut kepada sebenarnya.my/salur/. - Bernama