JELI - Kira-kira 95 peratus warga Politeknik Jeli Kelantan (PJK) sudah menerima suntikan vaksin dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengarah PJK, Ulaimi Yahya berkata, jumlah tersebut turut melibatkan 222 pelajar yang sedang mengikuti latihan amali bagi memenuhi silibus pengajian mereka.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan apa yang melegakan warga PJK sudah mencapai imunisasi kelompok melebihi 70 peratus sebagaimana telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Beliau turun padang meninjau gerak kerja sukarelawan PJK yang bertugas di Pusat Pemberian Vaskin (PPV) Bergerak Peringkat Jeli di Sekolah Menengah Ugama Ad-Diniah, Batu Melintang, di sini.
Hadir sama Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Nik Daud.
Menurutnya, jika tiada halangan warga PJK akan melengkapkan suntikan dos kedua bermula minggu hadapan di bawah PICK.
Usaha tersebut secara tidak langsung memberikan lebih keyakinan kepada warga PJK dalam usaha melawan dan memutuskan rantian Covid-19 menerusi PICK.
Katanya, PJK turut memberikan galakan kepada kakitangan kontrak mendapatkan suntikan vaksin.
Mengulas mengenai program khidmat sosial (CSR) di PPV sementara, Ulaimi memberitahu, seramai 35 sukarelawan akan digerakkan dalam membantu menjayakan program PICK peringkat Jeli.
Setakat ini kata beliau, PJK telah menggerakkan sukarelawannya ke empat lokasi iaitu Ayer Lanas, Sungai Rual, Kuala Balah dan Batu Melintang.
"Ini merupakan sumbangan kecil PJK dalam membantu barisan hadapan negara dalam melawan pandemik Covid-19," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ulaimi berkata, pihaknya turut turun padang merancakkan lagi kempen suntikan vaksin dalam kalangan masyarakat.
Katanya, kempen itu dilakukan menerusi kolaborasi bersama agensi kerajaan dalam melawan pandemik tersebut.