Padah guna surat MITI abang, wanita didenda RM5,000

Iklan
Intan Zarina (kiri) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kajang pada Selasa kerana menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) milik orang lain.

KAJANG - Tindakan seorang wanita yang juga pemilik kedai ukir kayu menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) milik orang lain untuk pengoperasian premisnya membawa padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Intan Zarina Md Sappery, 49, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan dia selaku orang kena saman (OKS) dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Ketika menjatuhi hukuman, Muhammad Noor Firdaus berkata, mahkamah memandang serius kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan

"Ada laporan bahawa kluster tempat kerja antara penyumbang utama kes Covid-19 dalam tempoh PKP.

"Hukuman yang saya jatuhi ini haruslah mencerminkan pandangan mahkamah yang mana ia mengetuai sentimen awam," katanya.

Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengemukakan surat kebenaran beroperasi oleh MITI, sedangkan ia bukan milik premisnya.

Kejadian berlaku ketika pemeriksaan dibuat oleh pengawai penguat kuasa di premis miliknya di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong di sini pada jam 10.40 pagi, 9 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan denda pada kadar minima dengan alasan tiada pendapatan ekoran pandemik Covid-19 ketika ini.

"Saya akan buat surat MITI baharu sebab surat MITI yang saya guna sebelum ini sebenarnya atas nama abang saya," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat mencadangkan OKS dikenakan hukuman berbentuk pengajaran supaya tidak berulang di masa depan.