TANAH MERAH – Walaupun menghidap sindrom Down, namun seorang bapa tetap gigih memenuhi hajat anak lelakinya yang mahu menemaninya mendapatkan suntikan vaksin pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah, di sini.
Melemparkan senyuman sambil melambai tangan kepada orang ramai, begitulah bahasa tubuh Shahriemy Mohamad, 31, mempamerkan keterujaan ketika menunggu bapanya, Mohamad Said, 70, di PPV berkenaan.
Rata-rata penerima vaksin yang berada di IKBN melayan kerenah Shahriemy memandangkan pemuda itu cukup popular di kampungnya di Bukit Panau di sini kerana dia sering membonceng motosikal bersama bapanya.
Mohamad ketika ditemui memberitahu, Shahriemy sangat teruja untuk menemaninya ke PPV apatah lagi dia sering mendengar mereka sekeluarga sering berbual mengenai vaksin Covid-19.
"Memang dia tidak faham, dia cuma tahu Covid-19 itu bahaya dan kita mesti ambil suntikan. Oleh sebab itu dia nak teman, tidak mahu biarkan saya seorang diri walaupun berkali-kali saya suruh dia duduk di rumah.
"Saya bawalah juga, sambil pesan minta dia duduk diam-diam, jangan ganggu orang, kalau orang tegur, jawab elok-elok dan senyum. Alhamdulilah, petugas-petugas PPV pun bantu tengok-tengokkan dia sementara saya menerima suntikan,” katanya.
Hidup dalam dunia sendiri, anak kelima daripada enam beradik itu juga sering menunjukkan gelagat yang dia begitu takutkan pandemik Covid-19 selain mahu turut sama menerima vaksin seperti orang lain.
Sementara itu, lebih 500 penduduk Tanah Merah menerima suntikan masing-masing di PPV berkenaan dan lebih separuh daripada jumlah berkenaan melibatkan warga emas.
PPV tersebut adalah pusat kedua di Tanah Merah selain di Kemahang yang memulakan operasi sejak pertengahan Mei lalu.
Hasil pemerhatian mendapati, orang ramai selesa dengan proses pemberian vaksin kerana ia dijalankan di dalam salah sebuah dewan yang dikhaskan.
Sementara itu, Che Rohayah Ahmad Fauzi, 42, dari Betong, Kuala Lipis, Pahang memberitahu, dia meredah tujuh sekatan jalan raya (SJR) untuk membawa kedua ibu bapanya menerima suntikan di PPV yang sama.
Che Rohayah yang juga seorang jururawat berkata, dia mengambil cuti khas untuk pulang ke rumah memandangkan adik-beradik yang lain juga sibuk sebagai pasukan barisan hadapan di Kuala Lumpur dan beberapa buah negeri lain.
Ibunya, Che Minah Hamid, 64, dan bapanya, Ahmad Fauzi Che Mat, 66, dari Kampung Bendang Nyior di sini antara mereka yang terawal mendaftar di kampung berkenaan untuk menerima vaksin masing-masing.
Menurut Che Rohayah, ibu bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan dan sering menasihatkan orang kampung supaya sama-sama menerima vaksin seperti mereka.
"Saya pulang pun semata-mata untuk bawa mereka ke PPV, mereka sihat alhamdulilah, Cuma tidak boleh bawa kereta. Saya pun tak benarkan mereka bawa motosikal kerana faktor umur yang sudah lanjut dan kekuatan fizikal semakin berkurang.
"Selepas semuanya selesai, saya akan pulang ke Betong semula. Insya-ALLAH semuanya akan baik-baik sahaja,” katanya.