KEMAMAN - Sebanyak 73 kompaun bernilai RM611,000 dikeluarkan terhadap 59 syarikat dan 14 individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesalahan itu dikesan menerusi operasi bersepadu Ops Kilang Pematuhan SOP PKP 3.0 inter agensi di daerah Kemaman yang dijalankan selama 11 hari bermula 31 Mei hingga semalam.
Iklan
Iklan
"Sebanyak 133 premis diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak 59 syarikat dikompaun RM590,000 dan 14 individu dikompaun RM21,000 atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran SOP yang digariskan sepanjang PKP 3.0," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Dr Nor Azimi, kompaun dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman (PKDK) itu atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) antaranya gagal menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus serta gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera.
Beliau berkata, operasi diketuai PKDK itu disertai 59 anggota penguat kuasa terdiri daripada 40 anggota PKDK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) (9), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) (6) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) (4).
"Kita tidak berbangga dengan angka saman banyak dikeluarkan. Ia adalah langkah terakhir dilakukan setelah mendapati masih ada lagi yang berdegil dan tidak mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.