40,000 daftar sebagai sukarelawan MyVac

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal (duduk, kanan) beramah mesra dengan seorang penerima vaksin pada lawatan kerja ke PPV di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada Selasa.

PUNCAK ALAM - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 40,000 individu sudah mendaftar sebagai Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di seluruh negara sejak pendaftarannya dibuka pada pemberian vaksin fasa pertama Mac lalu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, setakat ini sejumlah 3,000 sukarelawan MyVac sudah mula digerakkan dan bertugas di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) seluruh negara bagi membantu melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Iklan
Iklan

Malah, katanya, di Selangor sahaja terdapat kira-kira 1,000 sukarelawan ditempatkan di seluruh PPV di negeri ini.

"Ini satu perkembangan baik kerana menjadi sukarelawan MyVac bukanlah secara sepenuh masa, jika kalau sukarelawan tidak dapat hadir pada hari tertentu, kita boleh ganti dengan sukarelawan lain," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke PPV di Dewan Berlian, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam pada Selasa.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal berkata, pada masa ini terdapat sekurang-kurangnya 10 sukarelawan MyVac bertugas di 300 PPV seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, jumlah sukarelawan MyVac bergantung kepada keperluan dan permintaan daripada setiap PPV.

Iklan

Beliau menganggarkan lebih banyak sukarelawan MyVac diperlukan untuk diserapkan bertugas sekiranya lebih banyak PPV dibuka pada Program PICK fasa ketiga.

"Kita jangka bekalan vaksin pada Julai dan bulan seterusnya akan meningkat dua kali ganda, ada kemungkinan 600 PPV akan dibuka seluruh negara," ujarnya.