LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan pada kedudukan 2.1 batu nautika tenggara Pulau Tuba, Langkawi pada Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut ditahan kira-kira jam 11.15 malam hasil risikan dan rondaan bot ronda melalui Op Benteng dan Op Aman.
Katanya, ketika itu bot berkenaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda.
"Pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa mendapati, bot bernombor pendaftaran KHF 2652 dikendalikan lima kru termasuk tekong berumur antara 19 hingga 54 tahun.
"Tekong bersama tiga kru merupakan warga Thailand, manakala seorang lagi kru adalah warga tempatan," katanya menerusi kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan kru warga asing tersebut mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
"Selain itu, kru warga tempatan berkenaan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.
Mohd Zawawi berkata, pemilik bot juga disyaki melanggar syarat sah lesen serta melakukan kesalahan menggaji kru warga asing tanpa permit.
"Bot berserta lima kru itu kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya.