PERSEKUTUAN Sukan Para ASEAN (APSF) berharap sebarang keputusan berhubung penganjuran Sukan Para ASEAN (APG) 2021 di Hanoi Disember depan perlu mempertimbangkan kepentingan orang ramai secara umum.
Presiden APSF, Mejar Jeneral Osoth Bhavilai dalam kenyataan pada Selasa berkata, keputusan mengenai status sukan edisi ke-11 itu perlu mengambil kira bukan sahaja keselamatan keseluruhan kontinjen tetapi juga keselamatan orang ramai.
Kenyataan tersebut susulan cadangan tuan rumah Vietnam menangguhkan penganjuran Sukan SEA ke-31 yang dijadual dari 21 Nov hingga 2 Dis ini dan temasya APG dari 17 hingga 23 Dis ini.
Bhavilai berkata, APSF mengakui situasi dan cabaran yang dihadapi Vietnam bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet para dan kontinjen susulan peningkatan kes Covid-19 di rantau ini.
Beliau berkata, APSF selaku badan induk gerakan paralimpik ASEAN, akan menunggu keputusan tuan rumah sebelum mengisytiharkan pendirian rasminya mengenai kemungkinan penangguhan APG.
"Selepas pembatalan Sukan Para ASEAN di Manila tahun lalu, malangnya kami kini berdepan dengan situasi yang sama. Kami mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat dan hanya akan membuat pendirian rasmi secara berunding dengan negara negara dan pihak berkepentingan,” katanya.
Menurutnya, APSF sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Para ASEAN Vietnam (VIEPGOC) dan sedar mengenai situasi semasa di Hanoi.
"Persediaan APG masih berjalan dengan sekretariat APSF dan VIEPGOC memulakan siri mesyuarat secara maya sejak awal tahun ini untuk menyelaras operasi dalam pelbagai aspek termasuk sukan dan teknikal, klasifikasi dan antidoping serta lain-lain urusan pentadbiran dan penganjuran,” katanya.
Vietnam bercadang menangguhkan Sukan SEA dan APG selama setahun pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan secara maya minggu lalu tetapai cadangan itu dibantah oleh lapan daripada 11 negara peserta termasuk Malaysia.
Justeru, Vietnam diberi tempoh dua minggu untuk membentangkan cadangan baharu.
Vietnam mencadangkan 11 jenis sukan pada temasya APG itu selepas 16 jenus sukan dipertandingkan pada temasya terakhir di Kuala Lumpur pada 2017. - Bernama