Dua jalan keluar pulih krisis negara: Hassan

Iklan
Hassan Abdul Karim

SHAH ALAM - Ada dua jalan keluar bagi pemulihan krisis di Malaysia iaitu membuka semula Parlimen dan mempercepatkan proses vaksinasi di seluruh negara.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau tidak bersetuju dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Perdana Menteri pada Selasa memaklumkan bahawa Parlimen akan dibuka pada fasa ketiga bulan September atau Oktober namun Perdana Menteri juga tidak pasti syarat-syaratnya.

"Parlimen ini bukan sektor ekonomi atau sosial, bukan juga macam sekolah sebaliknya Parlimen adalah sebuah institusi, satu daripada cabang kerajaan di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

"Jangan hendak tunggu fasa ketiga seperti hendak buka sepenuhnya sektor ekonomi, sosial dan semua. Parlimen hanya ada 222 ahli Parlimen sahaja, ramai yang sudah lengkap dua dos vaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-265 bertajuk ‘Mageran: Jalan keluar pulih krisis negara?' disiarkan secara dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Wacana turut menampilkan Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan penganalisis keselamatan dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Hassan turut menyarankan agar petugas di Parlimen diberikan suntikan vaksinasi lebih awal termasuk petugas media selain pegawai dan kakitangan kerajaan yang datang ke Parlimen.

"Jadi Parlimen mesti dibuka, mesti berfungsi. Buka Parlimen awal semakin baik bukan hendak tunggu fasa ketiga, September atau Oktober dan membincangkan mengenai penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

"Apa punca (di mana punca) kuasa Mageran ini kalau Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada punca kuasa dia (di bawah) Akta MKN tetapi Mageran ada apa, buang masa kita bincangkan.

"Lebih baik kita tumpukan (kepada) krisis, salah satunya krisis kesihatan pandemik Covid-19 ini iaitu cepatkan vaksinasi bagi mencapai 80 peratus imuniti berkelompok," katanya.

Beliau menyifatkan kerajaan turut gagal dalam menguruskan vaksinasi dan mendakwa proses vaksinasi kepada rakyat terlalu perlahan sehingga menyebabkan rakyat hilang sabar dan putus asa.

"Di Parlimen Pasir Gudang, Parlimen saya, rakyat dah berdaftar berbulan-bulan dengan My Sejahtera tetapi tidak sejahtera pun sekarang. Hilanglah kesabaran mereka, putus asa apabila daftar vaksin tidak ada, tidak sampai," kata Hassan.