Saya tak percaya dakwaan Pas: Mukhriz

Iklan
Mukhriz (kiri) bersama hadirin di kenduri rakyat sempena Karnival Ekplorasi Antarabangsa Kubang Pasu.

JERLUN - Tiada keperluan untuk Bersatu melakukan siasatan dalaman kalangan rakan komponennya dalam PH, susulan dakwaan Pas wujudnya komplot mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, apa yang diucapkan pembangkang perlu dibuat tapisan dan tidak wajar untuk mempercayai tuduhan politik seperti itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau sendiri tidak percaya dengan apa yang didedahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tegaskan beliau mempunyai maklumat berkaitan dua parti komponen PH sedang merancang menjatuhkan Mahathir.

"Saya tak percaya kepada undi tidak percaya itu! Namun saya percaya isu itu sengaja dibangkitkan untuk alih perhatian daripada isu PRK DUN Semenyih,” katanya, selepas merasmikan Karnival Explorasi Antarabangsa Kubang Pasu di Dataran Sungai Korok.

Iklan

Mukhriz berkata, apa yang Pas cuba lakukan adalah untuk menggambarkan seolah berlaku perpecahan kalangan PH, yang sebenarnya tidak wujud.

"Saya sendiri hadir mesyuarat tertinggi, Majlis Presiden PH, tiada langsung unsur sebegitu wujud. Ini politik, yang bercakap itu pihak pembangkang, apabila mereka yang bercakap, kita perlu tapis juga,” katanya.

Iklan

Menurutnya, sejauh mana kebenaran Abdul Hadi sukar ditelah kerana ‘pembohongan patuh syariah’ dijadikan justifikasi kepada tindakan pembohongan dan fitnah yang dilakukan.

"Sekarang katanya, bohong itu pun sudah patuh syariah, mana satu kita nak percaya,” katanya.

Mukhriz berkata, biar pun Abdul Hadi sekali lagi mempertahankan kenyataan dibuatnya sebelum itu, namun tidak disertakan bukti.

"Macam-macamlah, saya pun boleh mengaku ada macam-macam maklumat, reka sahajalah,” katanya.

Tambahnya, PH mahu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan permasalahan rakyat, berbanding terlalu asyik berpolitik.

"Sekarang tumpuan kami mahu selesaikan masalah rakyat, antaranya stabilkan harga barang, tangani kos sara hidup, tawar peluang pekerjaan, bina rumah mencukupi serta selesaikan masalah bekalan air, ini yang harus diberi tumpuan, berbanding asyik berpolitik,” katanya.

Hari ini, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan beliau mempunyai maklumat dan secara sinis menyebut, ‘kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang’ bagi menggambarkan wujud komplot undi tidak percaya terhadap Dr Mahathir oleh dua parti komponen PH.

Katanya, disebabkan itu Pas akan memberi sokongan kepada Dr Mahathir demi kepimpinan Islam walaupun sebagai pembangkang.