IPOH - Aliran trafik di sepanjang Kilometer 272.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Gunung Lang di sini sesak lebih 3 kilometer selepas sebuah lori kontena terbabas dan menghalang laluan.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.45 malam pada Selasa dan sehingga kini, kerja-kerja pengalihan masih dijalankan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati, lori membawa muatan barang mesin itu telah terbabas sendiri di lorong kiri dan melanggar penghadang jalan.
Menurutnya, kesan daripada perlanggaran itu, bahagian kontena telah menghalang lorong sebelah kanan jalan.
"Kesemua lorong ke arah selatan terhalang sepenuhnya dan lalu lintas terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan kerja-kerja pengalihan.
"Ketika ini kesesakan berlaku lebih 3 kilometer dalam keadaan cuaca hujan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, pemandu lori berusia lingkungan 50-an mengalami cedera ringan manakala kelindannya berusia 30-an tidak cedera.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi ciapan Twitter memaklumkan kesesakan berlaku dari Terowong Menora ke Ipoh Selatan.
Bagi mengelak kesesakan lebih teruk, pengguna dinasihatkan untuk keluar di Plaza Tol Ipoh Utara dan masuk semula ke lebuh raya melalui Tol Simpang Pulai.