Impak kenaikan harga sayur mula terasa

Iklan
Harga sekilo tomato saiz XL yang dijual kepada pelanggan mencecah RM6.50 di Pasar Besar Alor Setar, Kedah.

SHAH ALAM - Harga sayur-sayuran di beberapa buah negeri dilaporkan melambung selepas hasil pertanian dari tanah tinggi di Cameron Highlands, Pahang tidak dapat dikeluarkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tinjauan Sinar Harian mendapati harga sayuran yang mengalami peningkatan ialah tomato, timun Jepun, cili, kubis, kacang buncis, lada manis atau lada benggala), brokoli dan salad.

Iklan
Iklan

Negeri yang melaporkan kenaikan ialah Terengganu, Selangor dan Kedah, namun Negeri Sembilan, Perak dan Pahang dilaporkan harga masih stabil disebabkan stok lama masih ada.

Di SELANGOR, seorang peniaga sayur di Pasar Basah Seksyen 14 Petaling Jaya, Ahmad Sharizan Mohd Tajjuddin, 35, berkata, kenaikan harga sayur sukar dikawal dan naik antara RM2 hingga RM4 sekilogram (kg).

Iklan

"Paling ketara kenaikan sayur brokoli daripada RM12 kepada RM16 sekilogram, manakala timun naik kepada RM5.50 sekilogram berbanding RM3 sekilogram sebelum ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Pada Sabtu lalu, kerajaan mengumumkan PKPD di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang melibatkan kawasan Sungai Ikan, Blue Valley, Taman Matahari Cerah, Taman Desa Corina serta Kampung Baru Kampung Raja.

Iklan

Ia dilaksanakan mulai Isnin hingga 27 Jun ini selepas 29 kes positif Covid-19 dikesan dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, Ahmad Sharizan berkata, harga tomato dijual RM7 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM5.

"Pemborong memaklumkan, harga sayur naik disebabkan tenaga kerja ladang di Cameron Highlands tidak mencukupi akibat pelaksanaan PKPD,” katanya.

Harga sayur-sayuran di beberapa buah negeri mengalami kenaikan selepas hasil pertanian dari tanah tinggi di Cameron Highlands, Pahang tidak dapat dikeluarkan ekoran pelaksanaan PKPD.

Di TERENGGANU, peniaga Pasar Besar Kedai Payang, Nornadiah Musa, 25, berkata, harga bagi tomato gred A naik sekali ganda kepada RM6 sekilogram berbanding RM3.50 bagi kuantiti sama yang dijual pada Isnin.

Katanya, berlaku juga kenaikan mendadak pada harga salad apabila sekilogram sayur itu terpaksa dijual antara RM8 hingga RM9 berbanding RM6 yang dijual pada Isnin.

"Kebanyakan sayur yang dijual diambil dari Cameron Highlands. Apabila berlaku sekatan, sayuran tidak dapat sampai ke sini menyebabkan harganya naik secara mengejut.

"Semalam (Isnin), saya masih boleh jual tomato pada harga RM3.50 sekilo bagi gred A, hari ini terpaksa jual RM6.

"Begitu juga harga salad melambung daripada RM6 kepada RM8 hingga RM9 sekilogram. Kita jangka esok berlaku kenaikan harga bagi barangan ini,” ujarnya.

Menurut Nornadiah, berlaku juga kenaikan RM1.50 hingga RM2 bagi sayuran kacang buncis yang kini dijual RM12 sekilogram.

Selain itu, katanya harga bagi cili besar meningkat kepada RM8 hingga RM9 berbanding RM5 hingga RM6 dijual minggu lalu, manakala lada benggala dijual pada harga RM12 sekilogram.

Di KEDAH, lebih 20 peniaga sayur di Pasar Besar Alor Setar gusar apabila harga sayur mengalami kenaikan mendadak.

Seorang peniaga, Mawardi Taha, 50, berkata, harga sayur dari kawasan tanah tinggi itu dikesan mengalami kenaikan antara 40 hingga 50 peratus berbanding harga sebelum ini.

"Kita pernah mengalami kenaikan harga sayur sebelum ini tetapi ia tidak terlalu mendadak seperti kali ini iaitu dalam tempoh masa sehari sahaja.

"Misalnya, tomato saiz XL sebelum ini harganya RM25 sekotak, tetapi hari ini kita dapat pada harga RM52 sekotak. Apabila beli mahal, kita pun terpaksa jual mahal kepada pelanggan untuk elakkan kerugian,” katanya.

Muka depan Sinar Harian pada Isnin.

Jelasnya, selain harga sayur yang mahal, mereka juga berdepan masalah bekalan apabila beberapa jenis sayur yang dipesan tidak diterima.

Antara sayur yang tidak mempunyai stok adalah kacang buncis, timun jepun, lada benggala dan brokoli.

"Kita pesan, tetapi barang tak ada. Alasan pemborong barang tak dapat turun dari Cameron Highlands, jadi saya terpaksa jual apa yang ada,” katanya.

Di PAHANG, seorang peniaga sayur di Pasar Besar Kuantan, Mohd Zahfi Mohd Yusof, 38, berkata, harga sayuran tidak mengalami sebarang perubahan setakat ini, namun dia ada mendengar dakwaan kenaikan harga untuk beberapa jenis sayur-sayuran.

"Semua harga sayuran seperti tomato RM4 sekilogram, cili (RM8), timun Jepun (RM4), lada benggala pula sebanyak RM7 hingga RM12 sekilogram mengikut jenis dan semua jenis salad antara RM4 hingga RM6.

"Tetapi kacang buncis mengalami penurunan sebanyak RM3 berbanding RM12 sekilogram minggu lalu,” katanya.

Mohd Zahfi menjelaskan kenaikan harga barangan itu diramalkan dalam tempoh seminggu dua lagi.

"Kenaikan harga tetap berlaku, tetapi bukan pada waktu sekarang kerana pemborong masih lagi mengekalkan harga lama,” ujarnya.

Di NEGERI SEMBILAN, majoriti pengguna di Seremban memilih membeli barangan keperluan harian di pasar raya besar berbanding pasar awam.

Salah seorang pengunjung, Natrah Kassim, 42, memberitahu, dia lebih suka membeli di pasar raya berbanding di pasar awam, atas faktor keselesaan dan harga yang lebih murah.

"Sejak PKP 3.0 lalu, saya memang membeli di pasar raya, sayur di sini lebih murah, misalnya brokoli seketul hanya RM3.90 sahaja berbanding di pasar, mereka timbang ikut harga sekilogram.

"Ramai peniaga juga yang membeli makanan dan sayur-sayuran di pasar raya ini, berbanding di pasar. Harga juga masik terkawal,” katanya.

Penjual sayur-sayuran sedang menyusun barang jualan di Pasar Awam Larkin Sentral, Johor Bahru pada Selasa.

Di PERAK, tinjauan di Pasar Besar Ipoh mendapati penjualan sayur seperti tomato, cili merah, kubis, kacang buncis, timun Jepun dan lada benggala masih pada harga biasa antara RM3 hingga RM13 sekilogram.

Menurut peniaga, Saiful Azri Shamsuddin, 34, komuniti peniaga mengetahui kenaikan harga jualan sayur selepas dimaklumkan oleh pihak pembekal.

"Pembekal mengesyorkan untuk mengambil stok sayur lebih banyak daripada kebiasaan pada Ahad lalu, memandangkan mereka tidak dapat turun untuk hantar kerana PKPD.

"Stok saya ambil seperti cili merah, tomato dan kubis kerana tahan dua atau tiga hari dan tidak mudah busuk seperti sayur berdaun,” ujar Saiful Azri.

Katanya lagi, harga sebenar kenaikan sayur dari kawasan tanah tinggi itu boleh diketahui pada Khamis setelah stok habis dijual.

Saiful Azri (kanan) melayan pelanggan yang membeli di gerainya di Pasar Besar Ipoh.