KOTA BHARU - Seorang pemandu lori di Kampung Gajah Mati, Mahligai di sini hilang punca pendapatan sejak setahun yang lalu apabila kini tidak lagi mampu bekerja selepas menghidap kanser mata tahap empat.
Nawi Sulaiman, 74, seorang yang rajin bekerja sebelum penyakit tersebut merentap kegigihannya untuk menyara keluarga.
Bak kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga, Nawi yang ditemani isteri, Zaharah Daud, 66, dan anak bongsu, Nasrul Fahmi Nawi, 26, terpaksa menjalani kehidupan sukar.
Nasrul yang menyambung pekerjaan bapanya sebagai pemandu lori terputus mata pencarian kerana Sekatan Pergerakan Penuh yang dilaksanakan pada PKP 3.0.
Menurut Zaharah, Nawi menghidap kanser tersebut pada tahun 2018 selepas pihak hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan perkara berkenaan berdasarkan sampel yang diambil.
"Ketika itu benjolan hanya sebesar ibu jari dan kian membesar seperti sebiji telur ayam. Doktor beri cadangan kepada dia untuk buang ketulan berkenaan dan mungkin ia akan melibatkan juga separuh muka suami.
"Namun dia masih belum bersedia sehinggalah ia makin merebak ke pangkal bahu kanannya. Dia tidak pernah mengadu sakit, cuma beritahu matanya pedih,” katanya.
Kini, mata kanan Nawi tidak lagi dapat melihat seperti biasa kerana ditutupi benjolan kanser tersebut.
Apa yang menyedihkan, dia diserang angin ahmar (strok) pada April lalu ketika umat Islam sedang menjalani ibadat puasa.
"Anak-anak berada di luar kawasan, mereka pun kerja sendiri. Tidak mampu menyara kami. Suami pun sudah mula pakai lampin pakai buang sejak kena strok.
"Saya sekarang ini bergantung kepada sumber kewangan yang ada. Itu pun tidak seberapa lagi, ada juga terima bantuan daripada keluarga terdekat untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan mencuci luka pada mukanya.
"Suami hanya boleh makan nasi air. Badan pun makin susut. Sejak kena strok, dia banyak mengadu sakit di bahagian pinggang ke bawah. Alhamdulilah, ada katil baru untuk keselesaannya,” luah Zaharah.
Nawi memerlukan RM1,000 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dan ubat serta peralatan mencuci luka. Sumbangan boleh diberikan melalui akaun bank Zaharah iaitu Bank Islam, 03090020-59-4578.
Sementara itu, pada perkembangan sama, Nawi turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Aziz Kadir yang turut menyumbangkan katil pesakit kepada Nawi.
Abdul Aziz ketika ditemui memberitahu, pihaknya difahamkan keluarga Nawi telah dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk urusan bantuan dan sebagainya.