PENGENDALI Belanda, Frank de Boer mengingatkan pemain untuk kekal fokus berdepan Austria pada aksi Euro 2020 pada awal pagi Jumaat dan tidak mengulangi kesilapan sebagaimana yang dilakukan ketika berdepan Ukraine, 14 Jun lalu.
Menurut de Boer, biarpun selesa mendahului 2-0, skuad kendaliannya itu hampir berputih mata apabila Ukraine mempamerkan kebangkitan pada penghujung perlawanan bagi menyamakan kedudukan sebelum tandukan Denzel Dumfries pada minit ke-85 menyelamatkan skuad Oranje.
"Setelah selesa mendahului dengan dua gol, kami melakukan kesilapan dan membenarkan lawan menjaringkan dua gol.
"Melepaskan dua gol semudah itu bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat, namun kami berjaya bangkit sebagai satu pasukan dan akhirnya menjaringkan gol kemenangan.
"Walaupun Ukraine berjaya menyamakan kedudukan, tetapi kami tetap kekal dominan di semua posisi sehingga menjaringkan gol kemenangan,” katanya menjelang pertemuan dengan Austria di Johan Cruyff Arena, Amsterdam bagi aksi Kumpulan C, Euro 2020 pada awal pagi Jumaat.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di hadapan ribuan penyokong Belanda yang pastinya mahu menyaksikan Oranje menempah slot ke pusingan kalah mati lebih awal.
Sementara itu, de Boer turut mengharapkan ‘tuah’ arena Johan Cruyff sekali lagi berpihak kepada Oranje pada aksi berdepan Austria nanti.
Katanya, beraksi di hadapan penyokong sendiri sudah pasti akan memberikan semangat tambahan kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik masing-masing bagi memastikan kemenangan.
"Saya rasa semua pemain juga sedar bahawa kemenangan pada perlawanan ini sangat bermakna kerana ia akan membuka peluang untuk menempah slot ke pusingan 16 pasukan terbaik.
"Oleh itu, diharapkan kesemua pemain tidak melepaskan peluang ini bagi memastikan kemenangan untuk menempah slot berkenaan,” katanya.