SHAH ALAM - Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkongsi pengalaman beliau dalam membawa agensi melalui empat fasa dalam misi 'reinvent' (mencipta semula).
Beliau berkata, sudah menjangkau 12 bulan agensi itu memulakan misi berkenaan yang seterusnya menjadi pendorong utama dalam memacu transformasi digital negara ke arah matlamat Malaysia 5.0.
Menurut beliau, menerusi tempoh yang bermula dari Jun hingga September 2020, objektif fasa pertama bermula dengan memahami amalan, budaya dan sentimen sedia ada MDEC serta mengenal pasti halangan untuk merealisasikan potensi penuh yang dimiliki ketika melaksanakan mandatnya.
"Inisiatif utama yang seterusnya adalah melakukan tinjauan tadbir urus holistik yang dibantu oleh entiti profesional, relevan serta berpengalaman dengan transformasi tadbir urus dalam memastikan bahawa kesan dan hasil setiap intitatif adalah jelas.
"Hasil tinjauan tersebut mencadangkan aspek yang memerlukan penambahbaikan dalam urus tadbir dan kawalan di bidang utama MDEC yang memerlukan tindakan segera,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu, beliau berkata, fasa kedua pula memperlihatkan pengenalan agenda Malaysia 5.0, berdasarkan model Japan Society 5.0.
"Di bawah agenda ini, MDEC berusaha untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang sangat terintegrasi dengan teknologi, yang ditadbir oleh prinsip dan amalan eko-lingkungan yang inklusif dan adil,” ujarnya.
Tambahnya, salah satu pencapaian utama di bawah tempoh fasa ketiga MDEC adalah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Ia melibatkan semua warga MDEC sekali gus menunjukkan komitmen kuat organisasi ini terhadap ketelusan dan kejujuran yang akan terus dipertingkatkan dengan adanya Pegawai Integriti Bertauliah dari SPRM.
"MDEC menyaksikan peningkatan ketara dengan pelaksanaan Had Kuasa Budi Bicara (DAL), keseluruhan penambahbaikan Surat Anugerah (LOA),” tambahnya.
Sementara itu, menurutnya, MDEC kini berada di fasa keempat yang mana fokusnya adalah melaksanakan amanah untuk memenuhi objektif di bawah MyDIGITAL.
Jelasnya, objektif tersebut adalah dengan memastikan ekonomi digital memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.
"Untuk memperkemaskan strategi ini, empat teras utama telah dikenal pasti iaitu Kemahiran Baharu, Penerimagunaan, Pengganggu dan Pelaburan atau singkatnya N.A.D.I.
"Ini akan mendorong program teras MDEC untuk rakyat, perniagaan dan pelaburan seperti Gerakan #SayaDigital iaitu program utama mengenai jangkauan digital dan pembangunan untuk rakyat dan perniagaan di Malaysia,” jelasnya.