Maqis rampas 28 tan daging kerbau dari India

Iklan
Nombor seal pada kontena muatan daging kerbau dari India di Pelabuhan Pasir Gudang tidak sama seperti yang dinyatakan di dalam dokumen bill of lading yang diikrar.

JOHOR BAHRU- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor merampas 28 tan daging kerbau tanpa tulang dari India di Pelabuhan Pasir Gudang di sini pada Selasa.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan anggotanya pada jam 5.40 petang, menemukan sebuah kontena muatan daging kerbau tanpa tulang dari India dianggarkan bernilai RM293, 842.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati nombor seal pada kontena tidak sama seperti yang dinyatakan di dalam dokumen perkapalan (bill of lading) yang diikrar.

"Kesemua daging kerbau tanpa tulang itu dirampas untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan.

"Di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

"Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang dan akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan," katanya.