BAYAN LEPAS - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah tertentu bagi mengatasi masalah harga sayur-sayuran yang meningkat sehingga 40 peratus ketika ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdulla Mat Nawi berkata, kementerian sudah mendapat maklumat mengenai permasalahan itu dan akan memperhalusinya pada kadar segera.
Menurutnya, pihak kementerian akan menyelesaikan masalah itu di sepanjang rantaian iaitu dari peringkat pengeluar sehingga ke pengguna.
"Kita tidak menafikan di mana-mana pun akan ada masalah ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh ini. Kementerian dan FAMA akan mengambil tindakan malah kita ada menyediakan bilik gerakan yang beroperasi penuh melibatkan beberapa pegawai.
"Pegawai bertugas akan memastikan sebarang masalah yang dihadapi sepanjang rantaian iaitu dari peringkat pengeluar ke pengguna akan diselesai dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar di Pasar Nelayan Teluk Kumbar di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai kenaikan harga sayur-sayuran yang dikatakan berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands, Che Abdullah berkata, sektor pertanian dikategorikan sebagai perkhidmatan penting dan ia perlu berjalan seperti biasa.
"Sektor pertanian boleh berjalan seperti biasa cuma prosesnya sedikit berbeza kerana pelaksanaan PKP, PKPD dan sebagainya. Prosesnya mungkin mengambil masa kerana SOP yang ketat.
"Kerajaan terpaksa mengetatkan SOP kerana tidak mahu ada pihak lain yang mengambil kesempatan menggunakan alasan dari sektor pertanian untuk tujuan lain. Situasi ini yang menyukarkan tetapi dari segi operasi, sektor pertanian memang dibenarkan beroperasi," katanya.
Beberapa harga sayur-sayuran mengalami peningkatan mulai Isnin susulan pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands, Pahang.
Antara harga sayur-sayuran yang dijangka meningkat ialah tomato, timun jepun, cili, kubis, kacang buncis, lada manis atau lada benggala dan semua jenis salad.
Difahamkan, peningkatan harga berlaku antara 30 hingga 40 peratus kerana pengeluaran terpaksa dihenti serta-merta.
Punca utama adalah 12,000 pekerja asing dan tempatan di kawasan tanah tinggi itu tidak dapat keluar bekerja.