JOHOR BAHRU - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat bermain taktik masa untuk memanjangkan tempoh hayat kerajaan dengan mengumumkan Pelan Pemulihan Negara secara empat fasa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kerajaan PN telah diberi masa secukupnya iaitu selama lapan bulan menggunakan darurat termasuk menggantung Parlimen.
Bagaimanapun menurut beliau, dalam tempoh itu, tiada perincian apa yang mahu dilaksanakan dan akhirnya pelaksanaan darurat gagal dan masa terbuang.
"Sepatutnya mereka berikan perincian bagaimana 80 peratus rakyat dapat divaksinasi. Pelan daftar vaksin yang rendah juga tidak diperincikan.
"Kerajaan juga patut kemukakan pelan pemulihan ekonomi. Bagaimana menambah hasil negara. Apa pelan bantuan untuk mereka yang hilang pekerjaan dan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat menjelaskan, kerajaan menggunakan vaksinasi dan jumlah kes yang menurun sebagai ukuran peralihan dari satu fasa ke satu fasa.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kenapa Parlimen hanya dibuka pada bulan September atau Oktober untuk bersidang sedangkan ahli Parlimen sudah lama mengambil vaksin.
"Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) telah bertitah pada bulan Februari lagi supaya Parlimen boleh bersidang tetapi kerajaan PN menampakkan pekung di dada iaitu takut bersemuka di Parlimen. Takut pada ‘check and balance’ (semak dan imbang).
"Patutlah netizen kata ‘jemu dan bosan’. Itu komen popular rakyat bila Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) umum pelan pemulihan empat fasa. Jangan ada ‘denial syndrome’,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelan Pemulihan Negara rangkumi empat fasa: PM