KOTA BHARU - Varian berbahaya jenis Beta (B.1.351) yang berada dalam komuniti di negeri ini merupakan antara faktor penyumbang peningkatan kadar kematian akibat Covid-19 di Kelantan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sepanjang tahun ini hingga Selasa, kadar kematian mencecah sebanyak enam kes sehari berbanding hanya tujuh kes kematian dicatatkan sepanjang tahun lalu di negeri ini.
Menurutnya, sampel yang diambil sebelum ini mengesan 23 kes membabitkan varian berkenaan yang menjadi penyebab jangkitan pantas dalam komuniti.
"Cara virus merebak dengan cepat pada tahun ini dan angka kematian meningkat berbanding tahun lalu.
"Tahun ini, empat hingga enam kes kematian direkodkan pada setiap hari sehari menjadikan jumlah kematian 182 termasuk tujuh kes pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sementara di Dewan Tan Sri Murad Ahmad Penjara Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.
Beliau sebelum itu melawat ke Program Outreach Vaksinasi Kakitangan Penjara dan Keluarga Jajahan Kota Bharu yang turut dihadiri Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob.
Dr Zaini berkata, setakat ini, sejumlah 150,000 atau 12 peratus penduduk di Kelantan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 daripada keseluruhan 1.2 juta jumlah penduduk.
"Kita memerlukan sekitar 70 hingga 80 peratus bagi membentuk imuniti kelompok dan bekalan lebih banyak dijangka tiba pada Julai ini.
"Justeru, pelaksanaan pemberian vaksin kepada 6,000 hingga 8,000 penerima pada setiap hari ketika ini akan dipertingkatkan kepada 14,000 penerima suntikan vaksin setiap hari selain berkemampuan memberikan sehingga kepada 32,000 penerima sehari namun bergantung pula kepada jumlah bekalan,” katanya.
Dalam perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kutan Tengah, Tumpat pula, kata beliau, keseluruhan 1,616 penduduk selesai menjalani ujian calitan.
"Sehingga kini, seramai 110 penduduk di lokaliti itu didapati positif Covid-19 dan dijangkakan membabitkan varian Beta berdasarkan cara merebak yang cepat.
"Bagaimanapun belum ada kematian direkodkan di kawasan berkenaan,” katanya.
Sinar Harian pada 3 Mei lalu melaporkan varian jenis Beta (B.1.351) yang sebelum ini dikenali sebagai varian Afrika Selatan dipercayai tercetus di Kelantan akibat pergerakan rentas negeri.
Penduduk di negeri ini menghadiri kenduri di Kuala Lumpur dan kemudian membawa varian berkenaan hingga menular dalam komuniti.