KUALA LUMPUR - Prospek sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) kekal kukuh dalam keadaan aliran tempahan yang dijangkakan positif daripada pelbagai pelanggan, disokong oleh rancangan pengembangan kapasiti walaupun berlaku pandemik Covid-19.
AmInvestment Bank menjelaskan, sektor ini menjadi penerima manfaat memandangkan syarikat-syarikat mempelbagaikan rantaian bekalan mereka selain dari China dan ke Asia Tenggara, yang mendorong jaminan pesanan dan/atau pelanggan baharu yang lebih tinggi.
Contohnya, penyedia EMS, ATA IMS Bhd memaklumkan bahawa pelanggan utamanya menyasar untuk menggandakan portfolio produk pada tahun 2025, memperluas kategori produk sedia ada serta menceburi bidang baharu seperti kecerdasan buatan, robotik, dan bateri, menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan pada Rabu.
"Justeru, kami yakin ini akan memberi manfaat kepada ATA IMS kerana kedudukannya sebagai pengeluar kontrak terbesar bagi pelanggan utama di dunia mengeluarkan pelbagai rangkaian produk,” katanya.
AmInvestment Bank juga menambah, syarikat itu diberikan projek ketiga daripada pelanggan utamanya di Amerika Syarikat baru-baru ini menghasilkan mesin bersaiz penuh yang belum dilancarkan, yang kini sedang menjalani ujian.
Sementara itu, projek pertama dan kedua masing-masing telah berjalan sejak suku ketiga 2020 dan suku kedua 2021,
Bank pelaburan itu menamakan ATA IMS sebagai pilihan utama bagi sektor EMS susulan peranannya sebagai proksi sebenar terhadap prospek pertumbuhan pelanggan utamanya.
AmInvestment Bank memberi saranan ‘overweight’ bagi sektor EMS, namun akan menurunkan saranan itu kepada ‘neutral/underweight’ jika pandemik Covid-19 memburukkan lagi keadaan ekonomi global.
Ini kerana keadaan itu berpotensi menjejaskan permintaan terhadap produk pelanggan, terutama jika program pemberian vaksin mencatatkan kemajuan yang perlahan, jelasnya.
Masalah buruh yang timbul susulan kos buruh dan kekurangan pekerja, kerugian pesanan dan/atau pelanggan utama secara tiba-tiba serta prestasi operasi luar negara yang semakin buruk kerana tempoh untuk mencatatkan pemulihan bagi tempahan jualan adalah lebih panjang berbanding jangkaan juga boleh menjejaskan permintaan, jelasnya. - Bernama