Cabaran pendidikan semasa pandemik Covid-19

Iklan

Bermula dengan penutupan semua sekolah di China pada Mac 2019, tempat bermula wabak virus pandemic Covid19 diikuti dengan penutupan semua sekolah di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Iklan
Iklan

Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan PKP yang bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi PKP Fasa 1, PKP Fasa 2 bermula dari 1 hingga 14 April 2020, dilanjutkan ke PKP Fasa 3 bermula dari 15 hingga 28 April dan seterusnya PKP Fasa 4 bermula dari 29 April hingga 12 Mei.

Iklan

Berikut adalah perkongsian pandangan dan cadangan yang diutarakan oleh Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Dr Wan Mohd Azizi Bin Wan Sulaiman.

Iklan
Penutupan sekolah berpanjangan beri kesan amat besar

Penutupan sekolah akibat COVID-19 dijangka memberi impak pada pendidikan dan kesejahteraan ekonomi pelajar yang terkesan, sepanjang hidup mereka.

Itu antara inti pati laporan penutupan sekolah akibat COVID-19 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Bank Dunia, membabitkan lebih 150 negara antara Mei hingga Oktober tahun 2020 yang lalu.

Menurut laporan itu, berbanding krisis terdahulu COVID-19 meninggalkan kesan teruk terhadap pendidikan kanak-kanak, terutama di negara miskin.

"Sesuatu gangguan pada persekolahan kanak-kanak, walaupun singkat meninggalkan impak negatif berpanjangan terhadap pendidikan mereka.

"Satu kajian menganggarkan, kesan kehilangan pendidikan global akibat penutupan sekolah selama empat bulan adalah bersamaan AS$10 trilion (RM41 trilion) dari segi kehilangan pendapatan.

"Penutupan sekolah berpanjangan turut menyebabkan pelajar dan negara bakal kehilangan jumlah besar sepanjang hidup mereka. Ini menggambarkan betapa teruk kesan penutupan sekolah, malah menjelaskan beberapa langkah diputuskan kerajaan dalam membentuk dasar untuk menebus semula hari persekolahan yang hilang," jelas laporan itu.

Laporan itu menyatakan, 108 negara kehilangan purata 50 hari pengajaran secara langsung kepada pelajar akibat penutupan sekolah, atau kira-kira satu perempat daripada tempoh persekolahan dalam setahun.

Pada akhir September lalu, hampir separuh populasi pelajar global masih berdepan penutupan sekolah yang berlanjutan lebih enam minggu berturut-turut, manakala awal April, lebih 90 peratus pelajar seluruh dunia terkesan.

Selain hilang peluang belajar, penutupan sekolah akibat Covid-19 menjejaskan taksiran pembelajaran. Lebih separuh negara terbabit dalam laporan itu terpaksa menangguhkan peperiksaan penting antara empat hingga 12 minggu dan ada yang terus membatalkan peperiksaan. Pembatalan 2 peperiksaan utama UPSR dan PT3 pada April 2020 yang melibatkan seramai lebih 450,000 calon UPSR dan kira-kira 440,000 calon PT3, justeru jika kerajaan mendedahkan hampir satu juta calon terbabit ke sekolah bagi menduduki peperiksaan berkenaan, pastinya mereka berdepan risiko Covid-19.

Norma baharu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran

Susulan penularan pandemik itu yang menjejaskan kira-kira 1.5 bilion pelajar dan keluarga di seluruh dunia, kerajaan pelbagai negara memilih kaedah pembelajaran jarak jauh untuk mengatasi cabaran itu dengan memperkukuh sokongan pada guru serta menilai semula dasar pentaksiran dan peperiksaan.

Antara kaedah bagi meneruskan pendidikan pelajar termasuklah menerusi platform dalam talian, televisyen, radio dan pemberian bahan pendidikan untuk dibawa pulang ke rumah, namun menurut laporan badan dunia itu, keberkesanannya berbeza antara negara berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah.

Medium dalam talian dan televisyen adalah pilihan tertinggi dan ditawarkan di 90 peratus negara, disusuli bahan pengajaran di rumah (85 peratus) dan pendidikan menggunakan radio (61 peratus).

"Sebanyak 36 peratus menyatakan platform pendidikan dalam talian sangat berkesan, manakala 58 peratus menyifatkannya sebagai berkesan, khususnya dalam kalangan negara berpendapatan tinggi dan menengah tinggi, dengan hanya enam peratus menganggapnya tidak berkesan, iaitu dalam kalangan negara berpendapatan menengah tinggi," jelas laporan itu.

Namun, UNESCO dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menganggarkan setakat Mei lalu, 40 peratus pelajar yang terbabit dengan penutupan sekolah tidak memiliki akses internet, sekali gus memungkinkan sejumlah besar pelajar keciciran jika sekolah terus ditutup.

Laporan berkenaan menyarankan, sebarang keputusan untuk mengambil kira pembelajaran dalam talian sebagai hari persekolahan rasmi perlu menimbang ketidaksamaan akses pada teknologi dan tidak melebarkan jurang digital di seluruh dunia.

"Walaupun 53 peratus isi rumah seluruh dunia dihubungkan dengan internet, jumlah pelajar yang tidak memiliki akses internet pula berbeza, antara 15 peratus di Eropah Barat dan Amerika Utara hingga setinggi 80 peratus di Afrika.

"Kebanyakan pelajar daripada golongan berpendapatan rendah atau tinggal di luar bandar adalah kumpulan utama terpinggir daripada pembelajaran secara dalam talian ketika penutupan sekolah," menurut laporan itu.

Dilema capaian internet di Malaysia

Sebanyak 52 peratus pelajar di Sabah tidak mempunyai akses internet dan telefon pintar, komputer atau peranti mudah alih lain untuk memastikan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian berjalan lancar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang memasuki fasa keempat sejak dikuatkuasakan pada 18 Mac.

Sejak tular video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin memanjat pokok bagi mendapatkan capaian internet, semakin ramai tampil berkongsikan keadaan serupa di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.Kali ini melibatkan seorang pelajar tahun akhir Universiti Pendidikan Sultan Idris dari Sarawak yang dikenali sebagai Rose ED.

Malaysia tidak terlepas bencana ini. Hampir 36 peratus atau 1.8 juta pelajar tiada akses pembelajaran dalam talian dengan pelbagai faktor.

Angka mencecah dua juta ini adalah generasi muda yang dipinggirkan dan dinafikan hak mereka kepada pendidikan, apatah lagi hendak berbicara mengenai pendidikan yang berkualiti.

Maka, pembukaan persekolahan tahun ini membuka satu lembaran untuk menukar gerak kerja, tetapi pada masa sama masih ke arah tuntutan Falsafah Pendidikan Negara - ke arah perkembangan individu yang holistik.

Beberapa langkah perlu dikenal pasti, selain mata kita tertumpu kepada SOP yang tidak mengenal darjat, pangkat dan sosioekonomi.

Apabila pendedahan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 424,000 kanak-kanak Malaysia mengalami masalah kesejahteraan kesihatan mental, ia adalah penggera kepada negara untuk bangkit daripada lena.

"The greatest danger in times of turbulence is not the turbulence. It is to act with

yesterday’s logic.” (Drucker, 2017)

Pemimpin pendidikan perlu siapsiaga

Pemimpin perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek apabila berhadapan dengan dunia yang berubah-ubah agar dapat mengadaptasi apa jua keadaan (Drucker, 2017). Menurut Fullan (1998), peranan pemimpin pendidikan dalam membuat perubahan boleh dijana dan dilestarikan dalam lima (5) tindakan yang berikut:

  1. menyelesaikan masalah persekitaran yang kompleks,
  2. mengamalkan komunikasi berkesan,
  3. mempunyai fleksibiliti
  4. mengaplikasikan teknologi terkini
  5. menggabung konsep lama dan baharu.
Tindakan pemimpin ini ditambah untuk yang keenam berdasarkan cadangan daripada Hall dan Hord (2014) yang menjelaskan bahawa dalam melaksanakan suatu perubahan, pemimpin pendidikan perlu menjadi fasilitator perubahan melalui dimensi keprihatinan kepada orang lain, kecekapan organisasi dan strategi perubahan.

Dunia sekarang yang volatile, uncertain, complex, ambiguous (VUCA) memerlukan pemimpin sentiasa bersiap sedia, peka terhadap perubahan dan dinamik dalam pengurusan dan kepimpinan.

Semasa berlakunya sesuatu yang di luar jangkaan, pemimpin perlu cekap dalam mengadaptasi perubahan yang mendadak, menambahbaik proses membuat keputusan (decision making), kreatif, membuat keputusan melalui tindakan kolaboratif (collaboration) dan boleh dipercaya (trustworthiness) (Drucker, 2017).

Pemimpin juga perlu mempersiapkan diri daripada segala aspek agar dapat mengadaptasi apa juga keadaan dalam dunia yang sentiasa berubah.

Perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah pelaksanaan tugas dengan cekap dan menepati masa.

Selain itu, pemimpin tidak lagi bergantung kepada satu pilihan sahaja dalam membuat keputusan.

Perubahan dalam cara berkomunikasi

Krisis pandemik Covid-19 dan PKP yang dihadapi telah membawa kepada peningkatan kompetensi penggunaan komunikasi terkini (Google Meet, Skype) secara tidak langsung dalam kalangan warga organisasi.

Oleh itu, organisasi perlu merancang memastikan kesediaan infrastruktur yang diperlukan seiring dengan peningkatan penggunaan komunikasi terkini.

Maka, pemimpin seharusnya menyedari akan keperluan staf dalam organisasinya untuk menguasai teknik komunikasi yang berkesan (Helmi Akhtar & Ilhamie Abdul Ghani Azmi, 2017).

Kegagalan menguasai komunikasi yang berkesan akan mengakibatkan sistem penyampaian, perkongsian dan perbincangan maklumat kepada warga organisasi kurang jelas atau mungkin menjadi celaru seterusnya memberi kesan yang besar kepada pengurusan organisasi.

Menurut Global Digital Report (2019), Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih.

Laporan turut menyatakan penembusan internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus dengan pengguna menghabiskan purata lapan jam lima minit sehari dalam talian.

Penjawat awam juga digalakkan menggunakan E-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) untuk pembangunan profesionalisme berterusan mereka.

Perubahan dalam aspek pengurusan dan pentadbiran telah meningkatkan penggunaan pelbagai aplikasi TMK seperti Whatsapp, Telegram, Skype, Google meet, video conferencing dan banyak lagi.

Pengurusan organisasi bukan sahaja masih dapat diteruskan melalui aplikasi TMK ini, malah dapat menjimatkan kewangan dan masa. Kekangan faktor geografi sepanjang bertugas dari rumah dapat diatasi.

Walau bagaimanapun, pemimpin dan pekerja mestilah mempunyai integriti, kreativiti, kematangan spiritual dan daya tahan yang tinggi semasa menjalankan tugas tanpa kawalan bersemuka.

Sokongan daripada syarikat telekomunikasi menyokong aktiviti pendidikan secara dalam talian dengan memberikan satu Gigabyte percuma setiap hari kepada pelanggan mereka juga sangat membantu.

Kementerian Pendidikan juga menyediakan beberapa portal pembelajaran seperti Webinar dan Eduweb TV untuk guru-guru, Online Quizziz bagi murid-murid tahun satu hingga tahun enam.

Teach for Malaysia pula telah berkolaboratif dengan Yayasan YTL untuk membina kandungan pembelajaran dalam talian bagi memastikan semua pelajar di Malaysia dapat terus mengikuti pembelajaran dari rumah sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat pandemik Covid-19 melalui aplikasi FrogPlay Mobile.

Selain itu, Perpustakaan Negara juga menyediakan eLib eBook Portal untuk mengalakkan pinjaman buku atas talian secara percuma. institusi pengajian tinggi juga tidak ketinggalan melaksanakan pendidikan secara dalam talian.

Cadangan persediaan masa akan datang

Pandemik COVID-19 telah menyedarkan masyarakat dunia bahawa dunia telah banyak berubah dan menuntut perancangan 360 darjah. Beberapa cadangan sebagai persediaan untuk pemimpin pendidikan bagi memenuhi keperluan pada masa akan datang agar kita dapat mengharungi kemungkinan risiko krisis seumpama ini, disenaraikan seperti berikut:

a. Kompetensi pemimpin dan guru dari aspek ASK (attitude, skill, knowledge) perlu dipertingkatkan, diperbaharui dan anjal mengikut situasi;

b. Pasukan ERT (emergency response team) dan tindakan pemulihan perlu mantap dan tersedia;

c. Perlindungan insuran secara menyeluruh terutama aspek-aspek bencana dan perkara yang tidak sukar diramal;

d. Penyelidikan berimpak tinggi dan penyelidikan merentas ilmu pendidikan;

e. Penerokaan kepelbagaian alternatif penyampaian maklumat dan pengetahuan;

f. Pembangunan TMK dalam aspek AI (artificial intelligence) dan IR 4.0