SHAH ALAM - Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, perlu bergerak seiring dengan pengenalan pakej rangsangan ekonomi yang signifikan kepada rakyat.
Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberikan bayangan bahawa tempoh pembukaan penuh sektor ekonomi dan sosial dijangka direalisasikan sekitar bulan November dan Disember tahun ini.
Justeru, beliau menegaskan pakej rangsangan ekonomi kerajaan juga perlu bergerak seiring sehingga penghujung tahun 2021.
"Pakej rangsangan ekonomi yang signifikan kepada keperluan rakyat terjejas akibat pandemik Covid-19 adalah seperti peningkatan nilai amaun Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta bantuan itu disalurkan secara bulanan, rebat atau subsidi bagi bil utiliti, lanjutan moratorium pukal dan suntikan modal kepada industri kecil dan sederhana," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan membentangkan Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.
Strategi terbabit merangkumi empat fasa dan akan membabitkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.
Perdana Menteri berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Katanya, tiga indikator adalah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Sementara itu, Anis Anwar turut berpandangan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan pada Selasa setelah Strategi Pemulihan Nasional pada bulan April 2020, tidak lagi sesuai digunakan bagi menghadapi gelombang keempat pandemik Covid-19 selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 tahun serta peningkatan kes musim perayaan baru-baru ini.
Jelas beliau, sewajarnya pelan strategi peralihan keluar perlu dirangka dan diumumkan kerajaan sebelum kapasiti sistem kesihatan negara berada pada tahap kemuncak lebih 100 peratus.
"Seringkali kerajaan berselindung di sebalik data dan sains dan pastinya dengan indikasi 'data dan sains' ini sewajarnya memandu kerajaan lebih cepat mengesan tahap 'alarming state' iaitu sebelum sistem kesihatan kritikal dan bukan sesudahnya.
"Walaupun lebih baik ada berbanding tiada langsung, namun Pelan Pemulihan Negara sepatutnya dibayangkan bermula bulan November tahun lalu dengan negara sewajarnya kini berada pada fasa memulih dan mengembangkan kembali ekonomi, bukannya berada pada fasa daya tahan ekonomi lagi.
"Walaupun Muhyiddin berkata kerajaan telah cuba semampu mungkin tetapi ramai yang merasakan 'government are not doing enough'. Darurat dikatakan membolehkan kerajaan bertindak lebih cekap, maka buktikanlah," katanya.