KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelan Pemulihan Negara adalah langkah ke arah hala tuju yang tepat dalam menyediakan rangka kerja mengenai sasaran dan pendekatan yang jelas untuk melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka semula lebih banyak sektor ekonomi, menurut syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dalam kenyataan pada Rabu, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) menyambut baik pelan tersebut yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.
Pelan itu merangkumi empat fasa, masing-masing ditentukan berdasarkan tiga indikator -- jumlah harian kes Covid-19, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
"Kami berharap kepada pemulihan negara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal.
Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional, Jay Khairil Jeremy yang turut menyuarakan sokongannya terhadap pelan tersebut berkata, langkah itu dapat melindungi nyawa rakyat Malaysia dan pada masa sama memulihkan ekonomi negara.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Ahmad Zulqarnain Onn berpendapat mencapai imuniti kelompok melalui vaksinasi adalah jalan keluar daripada pandemik.
"Kita telah mencapai kemajuan yang besar pada Jun. Ia adalah baik apabila melihat kita hampir mencapai 200,000 dos semalam dan kini ditingkatkan ke arah sasaran 300,000 dos sehari.
"Semangat kesukarelawan di kebanyakan pusat vaksinasi benar-benar menunjukkan rakyat Malaysia yang terbaik,” katanya.
Berdasarkan kadar semasa, katanya, negara akan memberi suntikan vaksin kepada tiga juta rakyat Malaysia sebulan, membolehkan negara hampir untuk mencapai imuniti kelompok pada suku keempat seperti yang disasarkan dalam pelan tersebut.
"PNB dan syarikat kami bersedia untuk memberikan sokongan yang diperlukan untuk pelan itu. Langkah ke arah imuniti kelompok perlu dalam bentuk usaha bersama untuk kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kumpulan dan CEO SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, Pelan Pemulihan Negara memberikan gambaran yang jelas untuk negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dan menggariskan usaha untuk membangunkan semula ekonomi.
"Paling penting, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan pelan ini berjaya mencapai matlamatnya,” katanya.
Aria Putera berkata, SME Bank akan menggunakan maklumat yang disediakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan lagi pelan bank yang sedia ada untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah lama terjejas oleh pandemik Covid-19.
Beliau berkata bank telah menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada pelanggannya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, katanya, sektor perbankan negara terus komited untuk membantu usahawan mengekalkan dan mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh sukar ini berikutan kemampanan perniagaan mereka akan mempengaruhi prestasi industri perbankan negara.
"Setiap permohonan untuk bantuan kewangan atau pembangunan perniagaan akan diberi pertimbangan yang terbaik mengikut garis panduan dan dasar sedia ada,” katanya. - Bernama