PASIR GUDANG - Sebuah kereta terbenam dalam lubang akibat mendapan di Jalan Lampam, Tanjung Puteri Resort di sini pada Rabu.
Tiada kemalangan jiwa berlaku, namun kejadian pada jam 8 pagi itu mengakibatkan paip di bawah jalan berkenaan pecah.
Insiden tersebut menyebabkan Kampung Pasir Putih terputus bekalan air kira-kira empat jam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) kini berada di lokasi untuk membuat kerja-kerja pembaikan dengan segera.
"MBPG meminta SAJ membaiki kembali paip dan membuat turapan hari ini juga kerana itu merupakan laluan utama di Pasir Gudang.
"Kita juga minta bantuan team Konsesi Safwa supaya 'standby' jika apa-apa keperluan untuk dibantu dengan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Katanya, kerja-kerja membaiki paip yang pecah disiapkan pada Rabu, manakala penurapan jalan dilakukan kontraktor Ranhill SAJ pada Khamis.
Kejadian tersebut tular dalam media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.