Wakaf penting untuk ekonomi, sosial ummah: Raja Muda Perlis

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat bahawa wakaf merupakan salah satu daripada instrumen dalam kewangan sosial Islam yang dapat memberikan impak ekonomi dan sosial kepada ummah.

Titah baginda, ia mempunyai potensi yang cukup besar untuk dikembangkan sesuai dengan keperluan semasa apatah lagi wakaf mempunyai jangkauan yang sangat luas sama ada dari sudut penyumbang atau dari aspek penerima manfaat.

Iklan
Iklan

"Oleh sebab itu, pihak Majlis Agama Islam Negeri yang telah diberikan amanah sebagai Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf di negeri-negeri harus diberikan kepercayaan penuh dalam melaksanakan fungsi dan peranannya seiring dengan peruntukan undang-undang negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sesi pembukaan Webinar Wakaf 2021 Peringkat Negeri Perlis yang dianjurkan dalam talian oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Yayasan Waqaf Malaysia serta Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) pada Rabu.

Iklan

Syed Faizuddin turut bertitah agar dengan pelaksanaan webinar itu, dapat memberikan gambaran jelas berkaitan pengurusan wakaf yang dilaksanakan penuh amanah dan berdedikasi oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pelbagai inisiatif wakaf yang dilaksanakan oleh MAIPs.

Iklan

"Terima kasih juga kepada semua para penyumbang wakaf yang budiman, semoga sumbangan semua akan sentiasa kekal abadi mendapat limpahan kurnia keberkatan daripada ALLAH Azza Wajalla," tambah baginda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, MAIPs berjaya melaksanakan pembangunan Kompleks Bangunan Wakaf Pusat Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar melalui sumbangan wakaf yang disempurnakan penyerahannya pada 3 Februari 2020.

"Buat masa ini, MAIPs sedang mempromosikan kutipan wakaf untuk dana projek pembangunan Pusat Autism Negeri Perlis (A-HEART) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

"Bagi yang berhasrat menyumbang boleh menyalurkan sumbangan melalui dalam talian dengan melayari laman rasmi MAIPs www.maips.gov.my atau menggunakan aplikasi JomPay dan MyTulus serta boleh menyumbang dengan mengimbas Kod QR DuitNow’ terang beliau," katanya.