KUALA KRAI -"Alhamdulillah, akhirnya saya menjalankan tanggungjawab pada negara dengan menerima suntikan dos pertama untuk lawan Covid-19."
Itu kata-kata yang dilafazkan dari mulut, orang kelainan upaya (OKU) selepas melengkapkan suntikan tersebut menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberikan Vaksin (PPV) Masjid Kampung Pasir Kelang, di sini pada Rabu.
Mahu Sain Hanafiah, 55, berkata, dia cukup teruja menerima suntikan tersebut selepas sekian lama memasang impian untuk berbuat demikian.
"Bila kerajaan galakan rakyat untuk terima suntikan saya sanggup ke bandar Kuala Krai sejauh 15 kilometer untuk ke PPV Guchil bagi mendapatkan vaksin.
"Tetapi gagal kerana saya diminta untuk menunggu PPV bergerak pada Rabu," katanya.
Menurutnya, apa yang dilakukan oleh kerajaan perlu disokong kerana ia merupakan salah satu usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Suntikan tersebut kata beliau, mampu meningkatkan daya tahan badan dalam melawan pandemik itu.
Mahu Sain berkata, perasaan takut pada Covid-19 lebih mendalam berbanding ketakutan pada vaksin yang telah dijamin keberkesanannya.
Mahu Sain tiba di PPV pada jam 9.55 pagi dan kemudian telah dibawa menggunakan kerusi roda oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata, PPV bergerak merupakan salah satu usaha yang digerakkan untuk melancarkan PICK.
"Masalah utama penduduk di sini adalah dari segi logistik. Hal ini kerana mereka perlu menaiki feri untuk pergi ke PPV yang terletak kira-kira 15 kilometer," katanya.
Menurutnya, program ini telah memberikan manfaat kepada lima buah kampung di kawasan tersebut iaitu Pasir Kelang, Buyung, Sungai Tako, Pasir Kelang Lama dan Ladang Tako.