SINGAPURA - Jumlah penduduk Singapura meningkat sekitar 1.1 peratus setahun antara 2010 dan 2020, menurut Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) pada Rabu.
Populasi penduduk meningkat kepada 3.52 juta daripada 3.23 juta dalam tempoh ini, sementara penduduk tetap berjumlah sekitar 0.5 juta.
Sementara itu, komposisi etnik tetap stabil, dengan 74.3 peratus kaum Cina, 13.5 peratus Melayu dan 9.0 peratus India pada 2020. Jumlah itu termasuk warganegara dan penduduk tetap.
Maklumat itu antara dapatan yang disiarkan jabatan tersebut dalam Banci Penduduk 2020, yang dikeluarkan di sini.
Mengenai status perkahwinan, DOS berkata, jumlah penduduk bujang meningkat di antara kumpulan umur dengan peningkatan paling ketara bagi penduduk berusia 25-34 tahun.
Antara 2010 dan 2020, golongan bujang dalam kalangan penduduk berusia 25-29 tahun meningkat kepada 81.6 peratus berbanding 74.6 peratus lelaki, dan mencatat 69.0 peratus daripada 54.0 peratus wanita.
Jumlah kelahiran pula menurut DOS wanita umumnya memiliki lebih sedikit anak dibandingkan sedekad sebelum ini.
Purata bilangan anak dilahirkan wanita yang pernah berkahwin berusia 40-49 tahun menurun daripada 2.02 per wanita pada 2010 kepada 1.76 setiap wanita pada 2020.
Dalam kalangan wanita pernah berkahwin berumur 40-49 tahun, lulusan universiti pula mempunyai purata 1.66 anak pada 2020, lebih rendah berbanding purata 1.94 anak membabitkan mereka berkelayakan menengah.
DOS berkata, untuk pencapaian pendidikan pula, profil populasi penduduk bertambah baik antara 2010 dan 2020 menyaksikan wanita telah mencapai kemajuan lebih ketara dalam pendidikan.
Pada 2020 sebanyak 58.3 peratus penduduk berusia 25 tahun ke atas mempunyai kelayakan pasca-menengah atau lebih tinggi, meningkat daripada 46.5 peratus pada 2010.
Masyarakat Cina, Melayu dan India semuanya menunjukkan peningkatan dalam pencapaian pendidikan.
Mengenai kebolehan menulis dan membaca, jabatan itu menyatakan kadarnya tetap tinggi iaitu sebanyak 97.1 peratus pada 2020 dan literasi pelbagai bahasa juga kekal tinggi pada 90.3 peratus dalam kalangan penduduk berusia 15-24 tahun.
Bahasa Inggeris adalah bahasa paling kerap digunakan di rumah untuk 48.3 peratus penduduk berusia 5 tahun ke atas pada 2020, meningkat berbanding 32.3 peratus pada 2010.
Di antara penduduk paling kerap berbahasa Inggeris di rumah, lebih daripada 80 peratus juga menggunakan bahasa vernakular di rumah.
DOS menyatakan bahawa Singapura terus mengamalkan kepelbagaian agama. Di antara penduduk yang berumur 15 tahun ke atas pada 2020, sebanyak 31.1 peratus mengaku sebagai Buddha, 8.8 peratus (Tao), 18.9 peratus (Kristian), 15.6 peratus (Islam) dan 5.0 peratus (Hindu).
Jumlah mereka yang tidak beragama meningkat kepada 20.0 peratus pada 2020, berbanding 17.0 peratus pada 2010. - Bernama