KUALA LUMPUR - Bekas Duta Malaysia ke Uzbekistan dan anggota G25, Datuk Redzuan Kushairi meninggal dunia hari ini.
Redzuan, 69, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 12.45 tengah hari tadi, selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu akibat serangan jantung pada Rabu lepas, kata anggota perintis G25, Datuk Noor Farida Ariffin.
"Ia satu kehilangan besar bagi saya secara peribadi. Allahyarham adalah rakan sekerja saya di Wisma Putra sebagai rakan duta dan beliau seorang yang efektif serta sangat bijak.
"Sebelum mengalami serangan jantung, beliau sibuk membuat persediaan untuk mengadakan simposium mengenai Yaman bagi mendapatkan perhatian ramai terhadap penderitaan rakyat di sana akibat perang saudara,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Laman sesawang G25 memaklumkan Redzuan juga adalah Dato Shah Bandar dan anggota Majlis Diraja Perak. G25 adalah sekumpulan individu yang berpengalaman dalam pelbagai bidang dan mempunyai pandangan berbeza tetapi mendokong matlamat dan wawasan sama.
Jenazah Allahyarham Redzuan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab di Bukit Damansara, dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Asar hari ini.
Allahyarham meninggalkan isteri Datin Vera Redzuan dan dua anak.
Redzuan memiliki Ijazah dalam Hubungan Antarabangsa dan Sejarah di Universiti Malaya sebelum melanjutkan pengajian di Moscow State University di Rusia.
Beliau pernah berkhidmat sebagai timbalan wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, timbalan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke United Kingdom, serta setiausaha pertama/ketua canseri Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan setiausaha kedua di Moscow.
Redzuan berkhidmat sebagai Duta Malaysia ke Uzbekistan selama dua tahun dari 1994. - Bernama