Generasi Covid-19 yang tersisih

Iklan

ADA seorang sahabat lama saya yang kini memegang jawatan tinggi di salah sebuah universiti bertanya sama ada saya ada sebarang idea untuk membantu menangani isu Covid-19 dari segi penyelidikan.

Saya menjawab kepada beliau bahawa saya ada banyak idea yang boleh dipertimbangkan.

Iklan
Iklan

Persoalannya, kita harus mengambil kira beberapa perkara.

Yang pertama, adakah dana penyelidikan mencukupi? Yang kedua, kalau tidak perlu dana pun, adakah penyelidik bersedia menyumbang tenaga dan kepakaran mereka untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai kemelut dihadapi rakyat?

Iklan

Dan paling penting, adakah pihak kerajaan bersedia memberi data dan maklumat yang diperlukan bagi membantu penyelidik membuat analisis data bagi kajian mereka.

Perkara-perkara itu sebenarnya boleh diletakkan ke tepi sekiranya setiap daripada kita meletak keutamaan negara dan demi untuk menyelamatkan nyawa serta masa depan generasi akan datang mengatasi kepentingan peribadi masing-masing.

Iklan

Saya pasti dana akan diperuntukkan apabila kita menunjukkan kesungguhan mencari jalan penyelesaian.

Saya juga pasti penyelidik di universiti-universiti dan di think-tank bersedia membantu dan pasti juga pihak kerajaan akan berlapang dada untuk berkongsi data serta maklumat penting untuk kita selidiki dan beri penelitian mendalam sebagai pandangan tambahan untuk dipertimbangkan pihak kerajaan.

Sebagai contoh, antara perkara yang boleh diselidiki, saya maklumkan kepada sahabat saya itu bahawa pada waktu pandemik, sistem keselamatan sosial kita perlu diperhebatkan.

Pada waktu krisis beginilah, sistem-sistem sedia ada perlu memainkan peranan dengan berkesan. Pusat-pusat zakat seharusnya digemblengkan bersama untuk membantu rakyat.

Saya pasti ramai yang jatuh menjadi asnaf ketika Covid-19 bermaharajalela.

Maka, sudah semestinya zakat digunakan sebaik mungkin bagi membantu, selain pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan.

Yang penting dan sudah pasti dapat membantu kerajaan adalah satu kajian yang dibuat untuk menentukan setiap sen yang diagihkan melalui zakat dan pakej rangsangan kerajaan tidak tiris dan akan sampai kepada kumpulan sasar memerlukannya dengan cepat tanpa birokrasi yang menyusahkan rakyat.

Selain keciciran dari segi ekonomi, kajian perlu juga dibuat bagaimana untuk mengatasi masalah generasi Covid-19 yang akan tersisih dan tercicir dari segi pendidikan.

Kita sedia maklum bahawa pendidikan adalah kunci penting untuk masa depan rakyat. Maka, ada keperluan untuk mengkaji bagaimana transformasi diperlukan dalam pentadbiran sekolah.

Pendekatan dahulu iaitu one size fits all sudah tidak relevan lagi. Setiap sekolah perlu diperkasakan.

Setiap pentadbir sekolah perlu bersedia menggunakan pendekatan baharu yang lebih fleksibel. Ia harus mengambil kira geografi dan lokasi serta persekitarannya.

Saya pernah menulis dalam akhbar ini bahawa kalau kita mengharapkan pelajar di pedalaman untuk hadir mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di rumah (PdPR) dengan segala kelengkapan sama dengan anak-anak di Desa Sri Hartamas, kita sebenarnya menipu diri sendiri.

Tidak perlu menipu diri dengan hanya berselindung di sebalik alasan bahawa kita perlukan quantum leap untuk melonjakkan kita ke hadapan sebagai usaha memaksa semua orang ikut dan patuh kepada satu sistem pembelajaran, sedangkan ada banyak cara lain di luar sana yang boleh kita lakukan.

Antara meletak nasi dan lauk di atas meja yang menjadi keutamaan lebih penting kepada jutaan rakyat dengan menyediakan komputer dan internet, saya pasti mereka akan memilih nasi.

Yang bercakap tentang quantum leap ini perlu sedar bahawa hari ini ramai antara rakyat kita yang penat memikirkan bagaimana untuk meletakkan makanan di atas meja setiap hari untuk anak-anak mereka. Ini soal hidup dan survival.

Berdasarkan standard antarabangsa, bagi setiap aktiviti pengajaran dalam talian untuk menjadi berkesan, setiap pelajar perlu mempunyai akses kepada komputer (tidak kira sama ada tablet, komputer, ipad, telefon pintar dan alat-alat yang seumpamanya) dan internet.

Dilaporkan di Finland, 94 peratus pelajar, masing-masing mempunyai komputer yang boleh mereka gunakan bagi tujuan pendidikan.

Ia lebih tinggi daripada peratusan purata yang diletakkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) iaitu 89 peratus.

Berapa agaknya peratusan anak-anak kita di sekolah yang mempunyai akses semua ini secara persendirian tanpa perlu berkongsi dengan adik-beradik lain?

Ini baru satu sisi yang kita boleh andaikan akan tersisih dan tercicir.

Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menganggarkan 1.6 billion pelajar dalam 190 buah negara di dunia tidak bersekolah lagi akibat pandemik Covid-19 dan 24 juta lagi kanak-kanak menghadapi risiko menerima nasib sama. Implikasi kepada pembelajaran ini sangat serius.

Berapa ramai agaknya anak-anak di Malaysia yang telah tercicir dan tidak dapat membaca, menulis dan mengira?

Itu belum lagi kita melihat korelasi antara generasi tersisih ini dengan keperluan mereka untuk mengisi peluang pekerjaan nanti.

Yang pasti ia akan meninggalkan kesan dari segi kualiti, produktiviti dan inovasi bakal pekerja serta tenaga buruh di Malaysia pada masa hadapan.

Pada masa sama, mereka yang melalui pembelajaran zaman Covid-19 akan menerima implikasi dalam memilih peluang pekerjaan, pendapatan dan kualiti hidup pada masa akan datang.

Semoga kita sama-sama dapat menyelidik dan membantu mencari jawapan kepada persoalan tersebut dan semoga Malaysia akan terus terpelihara.

Setiap sekolah perlu diperkasakan. Setiap pentadbir sekolah perlu bersedia menggunakan pendekatan baharu yang lebih fleksibel.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM