SEORANG ibu tunggal, Lihle Magudulela menggali tanah di sebuah kawasan anak bukit di wilayah KwaZulu-Natal, Afrika Selatan dengan harapan dia dapat menemui sebutir batu yang berharga tinggi.
Dia berusaha mencari batu itu selepas ribuan orang mengerumuni kawasan di kampung Kwahlathi yang terletak lebih 300 kilometer ke tenggara bandar raya Johannesburg di negara tersebut.
Mereka datang ke kawasan itu setelah seorang pengembala kambing menemui sejumlah batu kristal dan berita berkenaan cepat tersebar luas dalam kalangan penduduk Afrika Selatan.
Bagaimanapun, kerajaan memberi amaran bahawa batu-batu umpama kristal itu mungkin tidak mempunyai nilai yang tinggi.
Menjelang fajar, sejumlah lelaki dan wanita menggali tanah dengan penyodok sebelum menggunakan tangan untuk mencari batu-batu yang pernah ditemui oleh pengembala kambing itu.
Ramai daripada mereka berjaya menemui batu-batu misteri itu dan membersihkannya daripada tanah.
"Ia adalah betul (batu-batu kristal itu). Saya akan membeli sebuah kereta, sebuah rumah dan menghantar anak-anak saya ke sekolah swasta," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.
Mencari dan mendapatkan berlian merupakan harapan tinggi dalam kalangan penduduk miskin di wilayah termiskin di Afrika Selatan ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara berkenaan.
Sebelum ini, negara di benua Afrika itu masih memegang rekod kerana penemuan berlian paling besar di dunia iaitu berlian Cullinan yang dijumpai pada tahun 1905.
Nama berlian itu diambil sempena tempat penemuannya iaitu kawasan lombong Cullinan di Afrika Selatan.
Seorang wanita yang mahu dikenali senagai Precious dan berusia 38 tahun berkata:"Kami miskin, kami tidak bekerja. Namun, ini (penemuan batu-batu tersebut) akan mengubah segala-galanya."
Menurut AFP, dia menghabiskan masa dengan menggali tanah walaupun pada waktu malam bersama dengan anak remaja lelakinya dan anak perempuannya.
Anak lelakinya itu kemudian menemui batu-batu tersebut yang sebesar bola ping pong.
"Mereka tidak letih, kami mencarinya untuk wang," kata wanita berkenaan.
Seorang lagi penduduk lelaki dari Johannesburg, Thulani Manyathi, 36, sanggup pergi ke Kwahlathi dari bandar Alexandra bersama dengan empat anak perempuannya.
"Kami akan pergi ke Dubai. Saya mahu membeli sebuah rumah dua tingkat dan ia akan mengubah kehidupan kami," katanya kepada AFP sambil tangannya memegang sejumlah batu-batu tersebut di dalam poketnya.
Terdapat cakap-cakap bahawa beberapa orang asing membeli batu-batu itu dengan harga beberapa ratus rand di bandar Ladysmith iaitu kawasan berdekatan dengan tempat penduduk tersebut mencari batu-batu berkenaan.
Mengikut tukaran mata wang asing, nilai 100 rand bersamaan dengan hampir RM30.
Namun, pakar-pakar menyatakan bahawa batu-batu itu dipercayai tidak berharga.
"Batu-batu itu bukannya berlian. Penduduk hanya menghabiskan masa mereka (mencari batu-batu tersebut)," kata seorang lelaki, Bhekumuzi Luvuno yang memeriksa salah satu batu berkenaan yang ditemuinya sebelum ini.
Pihak berkuasa Afrika Selatan turut campur tangan dengan meminta para penggali batu tersebut supaya meninggalkan kawasan penggalian dengan menyatakan alasan terdapat sekatan akibat pandemik Covid-19.
Namun, permintaan anggota-anggota pihak berkuasa itu tidak diikuti oleh para pencari batu tersebut.
Pada Selasa lalu, kerajaan Afrika Selatan menghantar satu kumpulan geologi dan pakar-pakar perlombongan ke kawasan berkenaan untuk mengambil batu-batu itu untuk tujuan analisis bagi mengetahui sama ada ia benar-benar berharga. - Agensi