SHAH ALAM - Peniaga yang dikatgeorikan sebagai perniagaan bukan keperluan atau tidak 'essential' buntu memikirkan mengenai sumber pendapatan mereka ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Pemilik premis Chiller Car & Bike Detailing Spa, Muhammad Hafizi Abdul, 33, menjelaskan, dia pernah terfikir untuk menutup perniagaannya kerana terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi.
"Antara yang terpaksa ditanggung ialah membayar sewa premis sebanyak RM2,000, bil utiliti dan gaji pekerja.
"Sejujurnya, saya langsung tidak mempunyai sebarang pendapatan sepanjang 15 hari Sekatan Pergerakan Penuh dilaksanakan tetapi dalam masa sama saya perlu membayar sewa kedai,” katanya.
Menurutnya, sejak membuka perniagaan itu pada akhir tahun 2019, dia masih belum berjaya mendapat pulangan modal.
Tambahnya, PKP 3.0 ini turut membuatkannya semakin runsing ekoran kegagalan beroperasi sedangkan permintaan daripada pelanggan diterima setiap hari.
"Setiap hari ada sahaja pelanggan yang hubungi untuk basuh atau mengilat kenderaan, tetapi saya tidak berani untuk menerimanya kerana takut dikenakan kompaun atau denda yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.
Tegasnya, dia sangat berharap agar kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada kumpulan peniaga bukan keperluan seperti dirinya untuk menerima sedikit pelanggan atau secara terhad bagi membolehkannya mendapat sedikit pendapatan ketika keadaan sukar ketika ini.
Pemilik premis pelekat kenderaan, Carrific Ultimate Wrap, Mohamad Razi Mohd Sahimy, 32, turut menyatakan hasrat untuk menutup perniagaan yang diusahakannya sejak enam tahun lalu sekiranya keadaan berterusan sehingga bulan hadapan.
"Pendapatan bulanan saya jatuh sebanyak 80 peratus. Saya hanya berharapkan jualan pelekat atas talian yang hanya mendatangkan hasil kurang RM1,000.
"Sewa kedai sebanyak RM2,500 dan gaji tiga pekerja perlu dibayar. Segala wang simpanan sudah digunakan. Kalau berterusan sampai bulan hadapan, saya terpaksa menutup kedai,” katanya.
Dia turut mengharapkan kerajaan memberi kelonggaran untuk membuka perniagaan kerana perkhidmatan yang diberikan tidak melibatkan pelanggan yang ramai.