UMNO sokong pandangan dizahirkan Agong

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - UMNO menyokong penuh pandangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pandangan tersebut jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan serta kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi menghadap pada 11 Jun lalu.

"Dalam sesi menghadap tersebut, saya turut menjelaskan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang sedang dalam kesempitan.

Iklan

"Antaranya seperti tuntutan moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekaligus memulihkan semula ekonomi negara.

"UMNO juga turut mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa darurat kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Tambah Zahid, UMNO juga mendokong dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda akan keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

"Sekali lagi UMNO ingin merafak setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi sandaran dan payung tempat rakyat berteduh di saat-saat rakyat amat gelisah memikirkan tentang kelangsungan hidup mereka," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin