Agong berpandangan secepat mungkin, tak sebut bulan berapa: Takiyuddin

Iklan
Datuk Seri Takiyuddin Hassan

SHAH ALAM - Pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen dibuat secepat mungkin tidak memperincikan bila ia perlu diadakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Seri Paduka Baginda hanya menitahkan agar ia dilaksanakan segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa bahawa Parlimen boleh bersidang sekitar September atau Oktober juga dilihat bertepatan dengan saranan 'secepat mungkin' yang dizahirkan Seri Paduka Baginda.

"Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan berapa... sebaliknya secepat mungkin.

Iklan

"Perdana Menteri pun kata, September atau Oktober. Sekarang kita pun sudah hampir penghujung Jun. Lepas ini Julai, Ogos dan September. Pasti (persidangan Parlimen) akan diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah bertajuk 'Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya' yang disiarkan secara maya pada malam Rabu.

Iklan

Seri Paduka Baginda pada Rabu menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan pad Selasa dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, pandangan Seri Paduka Baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Takiyuddin menegaskan, semua ahli Parlimen juga perlu memberi tumpuan kepada pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong yang mahu Parlimen dijadikan platform untuk wakil rakyat membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

"Tuanku titah bincang isu Covid-19 dan kerajaan sedia untuk terima pandangan dan saranan daripada pembangkang sekalipun.

"Tuanku tak titah (untuk bincang) perkara-perkara lain. Jangan nanti bila sampai Parlimen... macam biasalah, kita tahu," katanya dipercayai merujuk kepada usaha pihak tertentu untuk melakukan undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin