SETELAH tewas pada aksi sulung Euro 2020, Croatia bakal tampil berbeza dalam usaha mencatatkan kemenangan apabila berdepan pendahulu Kumpulan D, Republik Czech di Hampden Park, Glasgow, pada tengah malam Jumaat.
Menurut pengendali Croatia, Zlatko Dalic, skuad kendaliannya itu bakal tampil dengan lebih tersusun dari segala segi berbanding ketika tewas 0-1 kepada England 13 Jun lalu.
"Kami akan tampil berbeza kali ini. Bagaimanapun, kami tidak melakukan banyak pertukaran pemain kerana tidak mahu menjejaskan rentak permainan pasukan.
"Kami sedar, kami tidak beraksi dengan cukup baik pada perlawanan pertama hingga tewas kepada England yang juga salah satu pasukan pilihan kali ini.
"Bagaimanapun, kami telah merencana sesuatu pada sesi latihan dan diharapkan ia mampu diterjemahkan ketika berdepan Repulik Czech dan seterusnya memastikan kemenangan menjadi milik kami kali ini,” katanya.
Untuk rekod, Croatia dilihat agak terdesak untuk mencatatkan kemenangan setelah tewas pada perlawanan pertama berbanding Republik Czech yang menewaskan Scotland 2-0 pada 14 Jun lalu untuk menerajui Kumpulan D pada ketika ini.
Dalam masa sama, Dalic berharap agar kesebelasan skuad The Blazers itu dapat mengulangi aksi cemerlang, terutamanya sebagaimana yang dipamerkan pada babak kedua ketika berdepan England tempoh hari.
Katanya, aksi yang dipamerkan pada babak kedua itu nyata berjaya mengekang asakan-asakan tuan rumah untuk menambah jaringan.
"Pemain diharap dapat mengulangi aksi sedemikian. Dengan beraksi seperti itu, kita juga telah berjaya mengurangkan percubaan-percubaan tepat lawan ke arah pintu gol kita.
"Oleh itu, saya percaya sekiranya aksi sedemikian dapat dipamerkan sekali lagi untuk kita merealisasikan kemenangan yang diharap-harapkan,” katanya.