PENGENDALI Sweden, Janne Andersson lega apabila pemain sayap, Dejan Kulusevksi selesai menjalani proses isolasi setelah disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Menurut Andersson, pemain berusia 21 tahun itu kini disahkan cergas dan bakal beraksi bagi berdepan Slovakia di Gazrpom Arena, St Petersburg pada Jumaat.
Malah katanya, kehadiran Kulusevksi mampu mencorakkan permainan Sweden lebih kepada ‘menyerang’ berbanding ‘bertahan’ ketika terikat tanpa jaringan berdepan Sepanyol pada aksi pembukaan Kumpulan E, 15 Jun lalu.
"Kami telah beraksi dalam beberapa perlawanan berbeza dengan pasukan berlainan sebelum Euro 2020 bermula dan berdasarkan ‘pengalaman’ itu, kini kami memiliki apa yang diperlukan untuk beraksi di Euro 2020.
"Oleh itu, kehadiran Kulusevksi mampu menjadikan corak permainan kita lebih terarah kepada ‘menyerang’ dalam usaha kita untuk menjaringkan gol,” katanya.
Tambah Andersson, kehadiran Kulusevksi yang beraksi dengan Juventus dalam saingan Serie A dilihat tepat pada masanya bagi membantu Sweden mengharungi saingan Euro 2020.
Sementara itu Andersson meramalkan skuad kendaliannya itu akan berdepan laluan sukar ketika bedepan Slovakia yang menewaskan Poland 2-1,15 Jun lalu.
Katanya, Slovakia juga difahamkan bakal menurunkan barisan terkuatnya apabila semua pemain disahkan cergas untuk beraksi.
"Saya menjangkakan Sweden akan berdepan tentangan sengit pada perlawanan ini dan sudah pasti mereka mahu mencatatkan kemenangan kedua setelah menewaskan Poland.
"Justeru, saya harapkan pemain dapat mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan kali ni untuk menjamin kejayaan pasukan,” katanya.