ALOR SETAR - Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian berhampiran sebuah stesen minyak di Simpang Empat di sini pada Rabu.
Ketika kejadian jam 8.05 malam, mangsa, Muhammad Amirul Abdul Majid, 24, menunggang motosikal jenis Honda Ex5 bersama rakannya, Muhammad Luthfan Mohd Asrie,15, datang dari arah Alor Setar menghala ke Simpang Empat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Wira yang dipandu dari arah bertentangan oleh seorang lelaki berusia 20 tahun hilang kawalan lalu melanggar hadapan motosikal terbabit.
"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian.
"Pemandu kereta bersama dua penumpang termasuk seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mengalami kecederaan ringan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seorang penduduk kampung Muhamad Fakhruddin Abdul Hadi, 29 berkata, dia antara yang terawal tiba memberi bantuan kepada mangsa ketika kejadian memandangkan kemalangan terbabit berlaku di hadapan rumahnya.
"Ketika itu, saya sedang menonton televisyen sebelum kakak ipar memaklumkan berlaku kemalangan di hadapan rumah kami.
"Saya bergegas ke sana dan mendekati seorang mangsa yang menunggang motosikal masih lagi sedar ketika itu tetapi kelihatan agak sukar bernafas.
"Saya dan beberapa orang lagi penduduk terus memanggil mangsa untuk memastikan dia terus sedar sementara menanti ambulans tiba," katanya.
Tambahnya, kawasan itu kerap berlaku kemalangan apatah lagi keadaannya yang gelap tanpa lampu jalan walaupun berhampiran dengan lampu isyarat.
"Jadi saya berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang kerana laluan ini adalah jalan utama dan turut digunakan kenderaan berat," katanya.