KUALA LUMPUR - PKR akan menentukan calonnya bagi PRK DUN Rantau selepas mempertimbangkan semua cadangan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri akan mendengar cadangan-cadangan tersebut sebelum diputuskan oleh Biro Politik.
"Nak sibuk ribut-ribut pasal apa? Biasalah setiap PRK ada cadangan nama, kita dengar, kita timbang.
"Melayu ke Cina ke India ke, atau sesuai ke tak sesuai. Saya akan dengar, bincang dan putuskan dalam Biro Politik," katanya kepada media di Persidangan Antarabangsa Thirukkural 2019 di Universiti Malaya, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pihak yang menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon PRK DUN Rantau.
ARTIKEL BERKAITAN: Tolak Streram jadi calon PRK DUN Rantau
Hari ini, Pengerusi Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya DUN Rantau, Zuljimmykifli Sahari berkata, Streram bukan anak jati kawasan itu dan dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.
Katanya, pucuk pimpinan harus memilih calon tempatan yang lebih dikenali berbanding Streram yang sebelum ini dicalonkan pada PRU14.