GEORGETOWN - Sebanyak 2.7 juta batang rokok seludup disyaki tidak dibayar cukai bernilai RM2.05 juta dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang pada Selasa lalu.
Pemangku Komandernya, Superintendan Shoppri Saad berkata, kesemua rokok tersebut dirampas dalam serbuan di sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Changkat, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan pada jam 7.30 malam.
Menurutnya, ketika serbuan dalam Op Kontraban itu, tiada tangkapan dilakukan namun pihak berkuasa telah diekori beberapa kenderaan dipercayai tonto ketika dalam perjalanan ke gudang tersebut.
"Hasil risikan dan maklumat yang diperolehi, kita berjaya menyerbu sebuah gudang di Nibong Tebal dan merampas rokok yang dipercayai tidak bercukai. Bagaimanapun, ketika hendak ke gudang tersebut, kita diekori beberapa kenderaan dipercayai tonto.
"Ketika tiba di gudang itu, kita mendapati ada sebuah kereta namun bertindak memecut meninggal gudang sebaik menyedari kehadiran polis. Kereta itu bagaimanapun tidak dapat dikesan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan dalam gudang tersebut menemui 280 kotak dalam keadaan tersusun yang mengandungi 2.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama.
"Rampasan melibatkan 240 kotak mengandungi rokok putih dan 40 kotak mengandungi rokok kretek dipercayai untuk pasaran di sekitar negeri wilayah utara.
"Kita percaya, kemungkinan semua rokok ini diseludup masuk dari negara jiran. Siasatan masih dijalankan dan kita sedang mengesan sindiket yang terlibat dalam kegiatan ini," katanya.
Tambahnya, pasukan polis telah membuat intipan dan pemerhatian di kawasan gudang itu kira-kira sejam namun tiada sesiapa yang tampil.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket itu atau kegiatan penyeludupan boleh menyalurkan maklumat kepada PPM di talian 04-6558222 (24 jam) kerana aktiviti tersebut telah menyebabkan ketirisan cukai kerajaan sebanyak RM5 bilion setiap tahun.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. Operasi akan diteruskan untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup," katanya.