Selamat tinggal Real Madrid

Iklan
Sergio Ramos j

KAPTEN Real Madrid, Sergio Ramos sah akan meninggalkan kelab gergasi Sepanyol itu sebaik kontraknya tamat secara rasmi pada 30 Jun ini.

Perkara itu diumumkan pengurusan Real pada awal pagi Khamis, sekali gus mengakhiri spekulasi tentang masa depan pemain pertahanan berusia 35 tahun itu.

Iklan
Iklan

Sepanjang 16 tahun mengerah keringat bersama Los Blancos, Ramos telah memenangi pelbagai trofi termasuk lima gelaran La Liga, empat kejuaraan Liga Juara-Juara dan dua Piala Raja Sepanyol.

Ramos yang beraksi 671 perlawanan dan menjaringkan 101 gol untuk Real bergelut dengan masalah kecederaan musim ini sehingga menyaksikan dia hanya beraksi lima kali sejak awal tahun.

Iklan

Untuk rekod, Ramos menyertai Real dari Sevilla pada tahun 2005 - satu-satunya pemain Sepanyol yang dibawa masuk ketika Florentino Perez mula menjadi presiden kelab itu.

Menurut media Sepanyol, Real hanya menawarkan lanjutan tempoh setahun dengan pemotongan 10 peratus ke atas gajinya ketika ini ekoran pandemik Covid-19, namun Ramos mahu dilanjutkan kontrak dua tahun.

Iklan

Pada kempen Euro 2020 kali ini, Ramos tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan Sepanyol. Sebelum ini, dia menjadi pemain paling kerap mewakili Sepanyol apabila beraksi dalam 180 perlawanan.

Dengan merekodkan 23 gol, Ramos yang juga antara tonggak Sepanyol menjuarai Piala Dunia 2010 serta Euro 2008 dan 2012 berada di tangga kelapan penjaring terbanyak skuad La Roja.