SHAH ALAM - Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuka tanpa syarat dan tidak perlu menunggu sehingga September.
Ketuanya, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memahami titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja Melayu agar Parlimen dan DUN segera dibuka hanya akan memberi gambaran kepada umum akan penderhakaan mereka.
"Pada masa sama, ia akan menyerlahkan bahawa kerajaan yang ada jika diteruskan juga adalah sebuah kerajaan yang lemah, dengan Perdana Menterinya yang bukan sahaja sudah hilang keyakinan untuk mentadbir, bahkan kehilangan kepercayaan rakyat dan Seri Paduka Baginda.
"Sehubungan itu, jalan sewajarnya yang dipilih oleh Perdana Menteri adalah berundur secara terhormat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, titah Seri Paduka Baginda tepat pada waktunya kerana negara kini menghadapi situasi paling kritikal akibat krisis kesihatan meruncing, kelembapan ekonomi dan ancaman kelangsungan hidup rakyat disebabkan kegagalan kerajaan PN mengemudi negara.
"Malah kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu senada menyeru agar sidang Parlimen dan DUN dipanggil segera adalah isyarat jelasagar negara dapat terus memelihara prinsip demokrasi berparlimen dan keluhuran Perlembagaan terutama dalam situasi pandemik.
"Kami menyokong penuh pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa amat penting Parlimen dibuka semula sekarang agar semak imbang tata kelola dan perjalanan pentadbiran Putrajaya dapat dilakukan, Ordinan-ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara dapat dibahas.
"Selain itu, peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat juga dapat dibincang dan rintihan rakyat dapat didengar dengan jelas melalui suara perwakilan-perwakilan rakyat yang diberi mandat oleh pengundi," katanya.
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu.
Aiman Athirah berkata, Awan berpandangan Yang di-Pertuan Agong boleh mempertimbangkan untuk menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, sepertimana pada seksyen 14 (1)(b) yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen tanpa perlu nasihat Perdana Menteri sekiranya titah Seri Paduka Baginda diabaikan.
"Sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi kini sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat.
"Parlimen dan DUN adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar secara jelas dan konstruktif," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin