Sindiket judi online di balik kondominium

Iklan
Antara yang ditahan.

PETALING JAYA - Beroperasi di sebalik kondominium mewah sejak sebulan lalu kononnya untuk mengelak dikesan polis hanyalah taktik lapuk.

Modus operandi sindiket perjudian online itu dikesan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dalam serbuan di Kota Damansara, di sini, petang tadi ke atas dua unit kondominium yang terletak di tingkat 18 dan 36.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, serbuan pada jam 4.30 petang telah menahan seramai 15 individu tempatan berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita.

"Polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian iaitu 16 set komputer, modem serta 21 telefon pintar.

Iklan

"Soal siasat mendapati kesemua individu terbabit bekerja sebagai pengendali pertaruhan dengan dibayar gaji sebanyak RM3,000 sebulan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Mohd Zani menunjukkan komputer yang digunakan untuk mengendalikan pertaruhan perjudian online.

Mohd Zani berkata, sindiket dipercayai mengendalikan sebanyak RM70,000 sehingga RM80,000 aliran wang tunai dalam sehari.

Iklan

Katanya, sebuah komputer akan dikendalikan oleh seorang pekerja yang akan menerima kira-kira wang berjumlah RM10,000 untuk pertaruhan.

"Polis percaya sindiket menggunakan kediaman mewah sebagai lokasi pengoperasian sindiket judi online untuk berselindung daripada dikesan pihak berkuasa.

"Premis yang dipilih juga kebanyakkannya memiliki kawalan keselamatan yang ketat seperti lif yang hanya boleh digunakan oleh pemilik kad akses khas dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi laluan di koridor unit kondominium,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.