ADEN - Kehidupan sekumpulan nelayan Yemen yang terdiri daripada 35 orang berubah setelah mereka menemui muntah ikan paus di dalam perut bangkai seekor ikan paus sperma yang terapung di permukaan laut di perairan selatan Aden, Yemen pada Februari lalu.
Menceritakan detik-detik penemuan itu, seorang nelayan itu, Fares Abdulhakeem dan rakan rakannya kemudian menarik bangkai ikan tersebut ke daratan dan memotong dagingnya sebelum terkejut menemui muntah ikan paus yang turut dikenali sebagai 'emas terapung' kerana nilainya tinggi di pasaran.
'Emas terapung' itu juga dikenali sebagai ambergris iaitu bahan yang terdapat di dalam perut ikan paus sperma dan digunakan untuk pembuatan minyak wangi.
Ia berbentuk pepejal dan mengandungi bahan-bahan lemak.
Muntah ikan paus tersebut yang seberat 127 kilogram itu kemudian dibeli oleh seorang ahli perniagaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan harga lebih AS$1.5 juta (RM6.20 juta).
Sebahagian wang diterima itu kemudian digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan kerana kehidupan di Yemen menjadi sukar disebabkan perang saudara yang meletus sejak tahun 2014 manakala baki wang yang tinggal dibahagi-bahagikan kepada 35 anggota nelayan tersebut.
Nelayan Yemen memang sudah mengenali tentang nilai muntah ikan paus itu yang boleh digunakan untuk menghasilkan minyak wangi.
Menurut Fares, kehidupannya berubah selepas menemui muntah ikan paus itu.
"Ada yang menggunakan (wang jualan muntah Ikan paus itu) untuk membeli bot, ada yang
membaiki rumah. Saya membina rumah saya," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.
Seorang lagi nelayan yang menemui muntah ikan paus itu, Salim Sharf berkata, penemuan itu membolehkannya untuk menyimpan wang itu untuk masa depannya. - Agensi