KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan lawatan kerja ke Turki dan Mesir bermula 18 Jun hingga 21 Jun ini.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Diplomasi Antalya di Antalya, Turki. Forum dua hari itu bakal dirasmikan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat.
"Bertemakan Inovatif Diplomasi: Era Baharu, Pendekatan Baharu, forum berkenaan akan menyentuh pelbagai isu penting termasuk mengenai serantau dan global.
"Forum itu dijangka dihadiri pemimpin daripada lebih 43 negara serta pembuat dasar, diplomat dan ahli akademik seluruh dunia," kata kenyataan itu.
Hishammuddin juga akan menjadi ahli panel untuk sesi Kerjasama Serantau di Asia selain dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Turki Mevlüt Çavuşoğlu dan dari Palestin, Riad Malki.
Menurut kenyataan itu lagi, Hishammuddin kemudian akan meneruskan lawatan kerjanya ke Mesir dari 20 hingga 21 Jun, ia adalah lawatan pertamanya ke negara Afrika Utara itu sejak dilantik pada 10 Mac.
Pada lawatan itu, Hishammuddin dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya, Sameh Hassan Shoukry.
"Beliau juga akan bertemu Pengerusi Suez Canal Special Economic Zone (SCZone)," tambah kenyataan itu.
Malaysia dan Mesir mempunyai hubungan yang erat, diperkukuhkan lagi dengan kerjasama substantif terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan hal ehwal agama.
"Mesir adalah rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika Utara. Kesepakatan ini akan merancakkan lagi hubungan antara Malaysia dan Mesir,” menurut kenyataan itu.
Lawatan kerja itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat seperti yang dipersetujui Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara serta pihak berkuasa Turki dan Mesir. -Bernama