KOTA KINABALU - Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang meminta supaya Parlimen segera bersidang merupakan keputusan untuk menidakkan cadangan penubuhan Majlis Gerakan Nasional (Mageran).
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, UPKO menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda serta Majlis Raja-raja Melayu atas keputusan tersebut.
Iklan
Iklan
Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, UPKO menghargai tindakan Seri Paduka Baginda dengan meminta pandangan rakyat terhadap keadaan semasa negara menerusi ketua-ketua parti politik.
"Inisiatif seperti ini adalah 'unprecedented'. Ini membuktikan keprihatinan Tuanku. Langkah ini juga membuktikan pentingnya institusi raja berperlembagaan yang diamalkan negara kita," katanya.
Madius berkata, menyedari hakikat Yang di-Pertuan Agong merupakan tunggak utama Parlimen, titah supaya Parlimen dibuka harus diambil tindakan serta-merta.
"UPKO melihat titah ini sebagai petanda bahawa sememangnya proklamasi darurat untuk menangani Covid-19 telah gagal sepenuhnya.
"Oleh itu, Dewan Rakyat seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya dan bukannya menerima arahan daripada seorang menteri sebelum bertindak," katanya.