PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membawa cadangan supaya pekebun diberikan suntikan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat kepada kabinet.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, tindakan itu diambil selaras dengan fungsi dan peranan mereka sebagai barisan hadapan sektor agromakanan.
Menurut beliau, perkara itu juga turut diperincikan dan dibincangkan dalam satu sesi taklimat Program Vaksinansi Sektor Makanan yang diadakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada pengurusan tertinggi kementeriannya baru-baru ini.
"Sudah pasti saya sebagai menteri (MAFI) ingin melihat golongan nelayan, petani dan penternak ini diberikan suntikan vaksin dengan segera.
"Ini kerana golongan tersebut berada dalam kategori petugas barisan hadapan sektor ekonomi.
"Perkara ini jelas kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama mereka tergolong dalam perkhidmatan perlu dan dibenarkan bekerja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kementeriannya di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, Kiandee menjelaskan, beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat keputusan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sentiasa mempergiatkan khidmat pemasaran hasil pertanian sama ada melalui belian langsung atau tidak langsung.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin termasuklah dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika ini.
"Selain keluaran hasil pertanian di satu-satu tempat pengeluaran, MAFI juga mempunyai usahawan pengeluar di seluruh negara melalui program Ladang Kontrak MAFI 2.0," katanya.