KUALA LUMPUR - Dua individu diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan melibatkan pakej vaksin Covid-19 untuk warga tempatan dan warga asing pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang menerima makluman daripada rakannya berkenaan kewujudan tawaran pakej-pakej Vaksin Covid-19.
"Individu berkenaan membuat laporan polis berkaitan kewujudan tawaran Vaksin Covid-19 yang dijual pada harga RM450 untuk warga tempatan dan RM800 untuk warga asing.
"Hasil siasatan dan maklumat risikan, dua individu warga tempatan berumur 26 dan 27 tahun diberkas dipercayai terlibat dengan penjualan pakej vaksin tersebut," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai membuat penawaran pakej vaksin tersebut menerusi laman Facebook serta panggilan telefon.
"Pelanggan yang berminat akan didaftarkan ke dalam satu program vaksinasi. Mana-mana pembeli yang berminat untuk mendaftar akan diletakkan dalam senarai menunggu.
"Pembayaran hanya perlu dibuat oleh pembeli setelah nama mereka tersenarai sebagai salah seorang penerima vaksin melalui satu aplikasi," katanya.
Menurutnya, suspek turut mendakwa terdapat 30 orang telah dihubungi berkaitan pakej tersebut dan 10 peratus telah menyatakan minat untuk membeli.
"Bagaimanapun semakan lanjut mendapati, sehingga kini pendaftaran menerusi program tersebut hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka kepada individu persendirian," katanya.
Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.
"Kealpaan dalam program dan inisiatif yang sedang dilaksanakan ini boleh dimanipulasi oleh sindiket penipuan," katanya.