SHAH ALAM - Tiada institusi lain cuba menghalang usaha pembukaan Parlimen, sebaliknya kerajaan yang mengelak daripada berbuat demikian, kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Beliau berkata, gesaan agar Parlimen bersidang akan diteruskan supaya isu kepentingan negara dan rakyat dapat dibahaskan.
"Kalau tidak sekarang (Parlimen bersidang), Ogos (nanti) apabila darurat tamat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.
Shahril Sufian berkata, pelbagai pihak telah menekankan soal perlunya Parlimen bersidang segera sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Rabu.
Namun begitu, katanya, berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tiada kesungguhan ke arah pembukaan Parlimen.
Menurutnya, apabila Parlimen bersidang, antara perkara yang wajar dibincangkan segera adalah berkaitan kerajaan adakah akan sekali lagi mencari ruang untuk mengelak peranan sebenar Parlimen pada masa kelak.
"Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan mengatakan apabila habis tempoh enam bulan bermula dengan tarikh sesuatu proklamasi darurat terhenti berkuat kuasa, apa-apa ordinan yang dimasyhurkan menurut proklamasi dan undang-undang tidak dapat dibuat dengan sahnya.
"Apa-apa undang-undang yang dibuat semasa proklamasi berkuat kuasa, hendaklah terhenti berkuat kuasa kecuali tentang perkara-perkara yang telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh," katanya.
Berikutan itu, soal beliau, adakah kepimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri sekali lagi akan menggunakan tafsiran paling mesra kepada agendanya untuk kekal berkuasa.
"Adakah akan berpaut kepada Ordinan Darurat jauh melangkaui 1 Ogos?” soalnya.
Tambah Shahril, setelah darurat tamat, kepimpinan itu diharapkan akan segera kembali menyerah kepada sistem demokrasi berparlimen termasuk dalam soal keyakinan ahli-ahli Dewan Rakyat seperti Belanjawan 2022.