KUALA LUMPUR - Penduduk di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang Setapak di sini diminta menyediakan stok bekalan bahan basah mencukupi sepanjang tempoh Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat hingga 1 Julai.
Pengerusi Persatuan Penduduk dan KRT Desa Rejang, Mohd Noor Md Tahir berkata, ia bagi mengelak timbul isu berbangkit sukar mendapatkan bekalan bahan basah seperti sayur dan ikan sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan PKPD itu.
Menurut Mohd Noor, pihaknya dimaklumkan kesemua 12 blok dengan anggaran 16,000 penduduk akan menjalani PKPD, sementara semua aktiviti perniagaan termasuk kedai runcit di kawasan itu tidak dibenarkan beroperasi.
"Pihak kami telah membuat permohonan supaya dibenarkan kedai runcit beroperasi namun setakat ini tiada perubahan berhubung keputusan tersebut.
"Bagaimanapun, bekalan ikan dan sayur itu boleh dikirim melalui saudara mara yang tinggal di luar PKPD. Barang berkenaan akan diletakkan di pos kawalan dan hanya ketua rumah dibenarkan untuk turun mengambil keperluan tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Selain itu katanya, semua penduduk terlibat akan dibekalkan bakul makanan berisi makanan kering sebanyak dua kali dalam tempoh dua minggu.
Katanya lagi, sistem hebahan diperluaskan sebaik perintah PKPD diumumkan pada Rabu bagi memastikan info tersebut sampai ke semua penduduk.
"Kemudahan kumpulan WhatsApp diaktifkan ke setiap blok dan komuniti. Penduduk juga dilihat sibuk membeli keperluan sebagai persediaan sebaik menerima pemakluman tersebut.
"Saya harap semua penduduk memberikan kerjasama dan mematuhi arahan yang diberikan. Saya dimaklumkan jika kes berjaya diturunkan cepat, kemungkinan tempoh PKPD ini boleh ditamatkan lebih awal," katanya.
Difahamkan setakat Rabu, sebanyak 263 kes dilaporkan di perumahan berdensiti tinggi itu.
ARTIKEL BERKAITAN: PKPD tujuh kawasan libatkan KL, Sabah, Sarawak