SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) bersetuju untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada pelajar kelas peperiksaan pada tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, cadangan tersebut telah diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan diberi keutamaan terlebih dahulu.
"Alhamdulillah! Cadangan KPM agar pelajar kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh CITF yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Pada 15 Jun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech diluluskan untuk kegunaan individu berumur 12 tahun dan ke atas.
Tambah Dr Noor Hisham, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kali Ke-359 Berkenaan Pendaftaran Vaksin Covid-19.
Selain itu, Radzi berkata, sehingga kini lebih 90,000 orang guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.
Menurut video yang dikongsikan di Facebook Radzi, Khairy berkata, terdapat sejumlah 357,000 pelajar tingkatan lima dan 47,000 guru yang mengajar pelajar kelas peperiksaan itu.
Jelas Khairy, pihaknya sedang bekerjasama dengan KPM berkaitan pemberian vaksin kepada kumpulan peperiksaan itu termasuk guru dan kakitangan sekolah.
"Pendapat saya, mereka yang menghadapi peperiksaan awam ini perlu untuk kembali ke sekolah sebagai persediaan peperiksaan akan datang,” katanya.